Editor: Muhamad Haikal bin Musa
Kuala Lumpur : Pada 26 Jun 2024, seramai 40 orang pelajar yang terdiri daripada Kolej Awang Had Salleh (KAHS) mendapat peluang yang tidak ternilai apabila menerima jemputan menghadiri acara teaterdari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena ulang tahun yang ke-68 . Teater tersebut, bertajuk “Haji Murat,” telah diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.
Dr. Mardiana Ismail, pengetua KAHS, sangat bersemangat dengan mengalakkan pelajarnya untuk menyaksikan teater ini. Beliau melihat inilah peluang keemasan untuk menyuntik minat pelajar terhadap kesenian dan kebudayaan. Dr. Mardiana percaya bahawa pendedahan kepada karya seni seperti ini sangat penting, terutamanya dalam memperkenalkan generasi muda kepada sasterawan dan novelis ulung seperti Leo Tolstoy.
Dr. Mardiana juga berharap agar pengalaman ini dapat membuka mata pelajar kepada kekayaan kesusasteraan dunia, terutamanya karya-karya besar seperti ‘Haji Murat.’ Beliau percaya melalui pendedahan kepada karya-karya seperti ini, pelajar dapat memperluaskan pengetahuan dan menghargai nilai seni dalam kehidupan mereka.
Teater ‘Haji Murat’ adalah adaptasi daripada karya agung Tolstoy yang ditulis oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. Kisah ini diambil dari sejarah sebenar seorang pejuang pembebasan Chechnya, Haji Murat, yang hidup dari tahun 1818 hingga 1852. Beliau adalah simbol perjuangan menentang penjajahan dan dianggap sebagai hero sebenar oleh rakyat Chechnya. Kehidupan dan perjuangan Haji Murat diteliti dengan teliti oleh Tolstoy, menghasilkan penceritaan yang sangat mendalam dan mengharukan.
Pada malam tersebut, para pelajar KAHS bukan sahaja berpeluang menyaksikan pementasan yang memukau, tetapi juga mendapat peluang berharga untuk bersama-sama Perdana Menteri. Kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberikan inspirasi dan menunjukkan sokongan padu beliau terhadap usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara.
Teater ‘Haji Murat’ yang dipentaskan dalam bahasa Melayu bukan sahaja membawa penceritaan yang hebat, tetapi juga menunjukkan keindahan bahasa dan kebudayaan tempatan. Adaptasi oleh Anwar Ridhwan memastikan bahawa nilai-nilai dan mesej asli karya Tolstoy disampaikan dengan penuh penghayatan.
Dewan Bahasa dan Pustaka mengundang semua warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk bersama-sama menyaksikan teater ‘Haji Murat’ yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 Jun 2024. Ini adalah peluang yang tidak harus dilepaskan bagi sesiapa yang ingin mendalami kisah perjuangan, keberanian, dan kepahlawanan yang dihidupkan kembali melalui seni teater.
Marilah kita bersama-sama menyaksikan “Haji Murat” dan menghayati kehebatan penulisan serta penceritaan yang tiada tandingannya.