Disediakan oleh: Noratiqah Satari, Pegawai Pemulihan Perubatan

TANJONG MALIM – Kementerian Pengajian Tinggi telah membuat lawatan pemantauan dan penandaarasan  di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi pelaksanaan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti BITARA UPSI Perak. UPSI telah menerima peruntukan bagi pelaksanaan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah inisiatif Bajet 2022 dan inisiatif Bajet 2024 daripada Kementerian Kewangan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, mengalukan kehadiran wakil dari Kementerian Pengajian Tinggi iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak.

Dalam ucapan beliau menyatakan “UPSI berusaha mencari inisiatif untuk memperkasakan pendidikan inklusiviti Orang Kurang Upaya. UPSI mengucapkan terima kasih kepada kementerian kerana memberikan peruntukan 10 juta bagi naik taraf infrastruktur dan kemudahan OKU”. “Jika pihak KPT atau JKM mempunyai pandangan, cadangan atau projek yang ingin dilaksanakan, UPSI sentiasa bersedia untuk tampil ke hadapan kerana UPSI adalah universiti pendidikan. Pendidikan adalah diperlukan di segenap masyarakat”

PPDK Bitara UPSI di Perak merupakan salah satu pusat PDK yang menjalankan pelbagai aktiviti seperti kemahiran motor kasar, motor halus, perkembangan sosial, bahasa, pengurusan diri, 3M, permainan, sukan, rekreasi dan berfungsi sebagai pusat intervensi awal OKU, sumber maklumat, pusat rujukan, pendaftaran dan advokasi.

Manakala, En. Ahmad Rizal bin Adnan (Timbalan Ketua Pengerah Pendidikan Tinggi) menyatakan “Belanjawan 2024, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion antara lain adalah bagi meningkatkan kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti. Peruntukan ini akan melibatkan lebih 18,000 pelatih OKU di seluruh negara”. ”Sebanyak sembilan buah universiti telah terlibat bagi belanjawan inisiatif 2024 iaitu, UPSI, USM, UMPSA, UIAM, UPM, UKM, UM, UniSZA dan UMS. Kementerian berharap peruntukan yang disalurkan dirancang, diurus dan digunakan dengan penuh amanah dan integriti bagi memastikan objektif penubuhan PPDK dapat dicapai dan manfaat penubuhan PPDK diterima oleh golongan yang disasarkan”

Wakil JPOKU juga telah memberikan taklimat kepada semua PDK UA yang hadir berkenaan dengan pengoperasian PPDK sebagai pertubuhan. Seterusnya pembentangan Dari Prof. Abdul Rahim bin Razalli, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) merangkap Pengerusi PPDK BITARA UPSI Perak.
Beliau membentangkan mengenai pelaksanaan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti BITARA UPSI Perak dan mengucapkan terima kasih kepada kementerian atas peruntukan yang diberikan di bawah inisiatif Bajet 2022 dan 2024 yang diberikan kepada pihak UPSI. Pelaksanaan PDK adalah dengan kerjasama dari semua pihak. Kerja-kerja menaiktaraf telah dijalankan dengan kos secara keseluruhan hampir RM 800,000.00. PDK BITARA UPSI Perak telah beroperasi pada tahun 2023 dan bagi tahun 2024, PDK BITARA bergerak ke hadapan dengan memberi fokus kepada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Ianya adalah dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional, UPSI.


En Ahmad Rizal bin Adnan mewakili Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi telah serahan Sumbangan Kebajikan Yayasan Perkasa Siswa kepada mahasiswa Berkeperluan Khas UPSI. Lawatan ini diakhiri dengan membawa semua delegasi melawat sekitar UPSI yang iaitu PDK BITARA UPSI Perak, Pusat Latihan Sains Pertanian, Pusat Sukan Kampus Sultan Azlan Shah, Intervention and Therapy Centre dan lain-lain lagi.