Editor: Haikal Musa

Tanjong Malim, 3 Jun – Rahman Talib telah mencatat sejarah apabila dinobatkan sekali lagi sebagai johan perbarisan bagi Karnival Sukan Staff (KIESTA) dua tahun berturut-turut. Dalam acara yang disertai oleh lapan kontinjen, Rahman Talib sekali lagi berjaya merangkul gelaran juara, menunjukkan permulaan yang cerah untuk tahun ini.

Tema perbarisan kali ini adalah “Ahli Sihir,” yang mengisahkan tentang resepi kejayaan dan strategi yang baharu untuk Rahman Talib juara lagi . Pembawa bendera, Encik Mohd Raizol bin Ramli, yang juga merupakan pengurus pasukan KIESTA 2024, memimpin kontinjen Rahman Talib dengan penuh semangat. Kontinjen ini melibatkan pelbagai unit seperti HEPA, BHEA, META, PULAMI, dan Unit Integriti, yang semuanya bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam sukan kali ini.

Pepatah “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” sangat tepat untuk menggambarkan kejayaan dan komitmen semua ahli perbarisan Rahman Talib dalam Karnival Sukan Staff (KIESTA). Pepatah ini bermaksud jika seseorang benar-benar berkehendak untuk mencapai sesuatu, dia akan mencari seribu cara untuk mencapainya. Namun, jika tidak berkehendak, dia akan mencari seribu alasan untuk tidak melakukannya.

Dalam konteks kejayaan kontinjen Rahman Talib, pepatah ini menggambarkan semangat dan dedikasi setiap ahli perbarisan yang tidak mengenal putus asa dalam usaha mereka untuk meraih kejayaan. Meskipun latihan mereka hanya dilakukan sebanyak dua kali, semangat juang dan fokus yang tinggi membuktikan bahawa dengan keinginan yang kuat, mereka mampu mengatasi segala rintangan dan mencapai matlamat yang diimpikan.

Ketua perbarisan, Haikal Musa, menyatakan bahawa tanggungjawab yang diberikan kepadanya adalah satu amanah yang besar. Dengan kepercayaan yang diberikan sekali lagi untuk memimpin kontinjen, beliau bertekad untuk memastikan pasukan Rahman Talib terus kekal juara.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama antara kontinjen tahun ini, Rahman Talib masih kekal johan perbarisan. Latihan kami hanya dilakukan sebanyak dua kali, tetapi semuanya boleh tercapai jika kita fokus dan terus bersemangat,” kata Haikal Musa.

Jutaan terima kasih kepada komposer lagu perbarisan Rahman Talib iaitu Dr Fadhil Harfiez (META), kerana telah mencipta lagu yang begitu memberi impak yang besar kepada pemarkahan perbarisan kali ini dengan memperoleh  95 peratus secara keseluruhan. Dalam suka pasti ada duka, pihak kontijen Rahman Takib ingin mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Puan Nazatul Shima, penolong perbarisan kami yang sentiasa menghiburkan dan memberikan idea-idea yang bernas. Sumbangan dan kehadiran Puan Nazatul Shima telah memberikan semangat serta inspirasi yang mendalam kepada semua ahli perbarisan. Kami mendoakan semoga Puan Shima berjaya dan cemerlang di tempat yang baharu, serta terus membawa keceriaan dan kebijaksanaan kepada semua yang berpeluang bekerjasama dengan beliau. Terima kasih, Puan Shima!

Akhir sekali, keputusan ini bukan sahaja mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi tetapi juga menunjukkan betapa pentingnya kerjasama dan dedikasi dalam mencapai kejayaan. Dengan pencapaian ini, Rahman Talib telah membuktikan bahawa dengan persiapan yang rapi dan semangat yang padu, tiada apa yang mustahil. Tahniah kepada kontinjen Rahman Talib atas kemenangan ini dan semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk semua.