Tanjong Malim, 5 Julai 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program ‘Coding Kickstart: Beginner Bootcamp’ bagi mahasiswa UPSI yang berminat untuk mendalami ilmu pengaturcaraan dengan lebih mendalam.

Program ini diadakan atas beberapa objektif, antaranya ialah untuk memupuk minat mahasiswa untuk mempelajari ilmu pengaturcaraan, melahirkan lebih ramai mahasiswa yang mempunyai ilmu pengaturcaraan, dan memperlihatkan potensi kerjaya dalam bidang pengaturcaraan.

Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, kemahiran pengaturcaraan menjadi salah satu aspek penting yang perlu dikuasai oleh graduan masa kini. Bukan sahaja untuk mereka yang berada dalam bidang teknologi maklumat, tetapi juga pelbagai bidang lain yang kiniturut menggunakan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan inovasi. Program ‘Coding Kickstart: Beginner Bootcamp’ ini adalah satu inisiatif MPP UPSI untuk melahirkan lebih ramai mahasiswa yang mendapat pendedahan dan asas yang kukuh dalam bidang pengaturcaraan.

Program ini turut mengambil kira perkembangan semasa di mana kemahiran pengaturcaraan menjadi antara keperluan utama dalam pasaran pekerjaan. Menguasai bahasa pengaturcaraan seperti Python, Java, dan C++ bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang lebih luas, tetapi juga meningkatkan daya saing graduan di peringkat yang lebih tinggi. Dalam era Revolusi Industri 4.0, pengetahuan dalam bidang teknologi dan pengaturcaraan memberikan kelebihan tambahan kepada graduan dalam mendepani cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks.

Menurut pengarah program, Raja Nur Aliesa Raja Husain, “Kami berharap agar program ini dapat memberikan pendedahan awal kepada mahasiswa tentang betapa pentingnya kemahiran pengaturcaraan dalam dunia hari ini. Selain itu, kami juga ingin membuka minda mereka tentang pelbagai peluang kerjaya yang boleh diterokai dengan kemahiran ini.”

Peserta program ini telah diberikan pendedahan melalui sesi teori dan praktikal yang intensif. Mereka didedahkan kepada asas-asas pengaturcaraan, di samping berpeluang untuk mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam menyelesaikan masalah sebenar. Melalui pendekatan hands-on, peserta dapat memahami konsep-konsep pengaturcaraan dengan lebih mendalam dan menyeluruh.

Turut hadir Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Prof. Madya Dr.Ing. Maizatul Hayati Mohamad Yatim dan Timbalan Dekan Hal ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Ts. Dr. Nazre Abdul Rashid.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mahasiswa dari aspek pembelajaran dan kemahiran, tetapi juga menyediakan mereka dengan asas yang kukuh untuk meneroka lebih banyak peluang dalam bidang teknologi. Dengan usaha berterusan dari MPP UPSI dan sokongan daripada universiti, diharapkan lebih ramai mahasiswa akan terdorong untuk mempelajari dan menguasai ilmu pengaturcaraan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara dalam era digital ini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)