Oleh : Aina Farisya Norazizi

Tanjong Malim- Persatuan Multimedia Kreatif (PMK) dengan kerjasama Persatuan Teknologi Maklumat (PTM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program ‘UPSIxMETA :Unlock Possibilities, Shape Imagination’ yang bertempat di Makmal Mega, Aras 4, E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI pada 21 Jun.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program Skillscape: The Talent Expedition yang berlangsung pada Disember lalu di Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar sekolah menengah tentang suasana pembelajaran di UPSI di samping mempromosi Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT). 

Penasihat PMK, Dr. Ummu Husna Azizan menyatakan hasrat beliau agar program yang melibatkan penglibatan luar sebegini dapat dijalankan lebih giat lagi untuk menambahkan  ilmu pengetahuan pelajar tentang kehidupan sebagai seorang yang bergelar pelajar universiti. Bukan itu sahaja, harapannya lagi agar program ini dapat menaikkan lagi nama UPSI sebagai salah satu universiti berprestij di Malaysia.

Menurut pengarah program, Siti Raihana Jalaidi program ini bukan sekadar untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar sekolah menengah tentang suasana pembelajaran di UPSI, malah supaya semua pelajar menjadi lebih rajin serta menanamkan impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas tamat persekolahan. 

Lawatan pertama dimulakan dengan Muzium Pendidikan Nasional (MPN) yang kaya dengan khazanah berkaitan sejarah pendidikan negara sejak awal penubuhan SITC semasa era penjajahan British lagi. Seterusnya mereka dibawa Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) yang menjadi tarikan pelajar kerana terdapat pelbagai buku yang menarik dari segenap sudut serta kemudahan yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut.

Lawatan seterusnya adalah di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang melibatkan dua kawasan iaitu di Perpustakaan Digital dan Pusat Sukan Arena. Di Perpustakaan Digital, pelajar dapat melihat segala kemudahan digital yang telah disediakan oleh pihak universiti yang sangat berkontradiksi dengan PTB. Di sini, tiada buku fizikal disediakan sebaliknya ia mempunyai tempat pembelajaran dilengkapi tablet, sudut bermain permainan digital dan di tingkat atas pula ada disediakan bilik-bilik yang boleh digunakan untuk bermesyuarat. Di Pusat Sukan pelajar didedahkan pula dengan kemudahan-kemudahan untuk mahasiswa bersukan seperti gim, stadium dan kolam renang. 

Diharapkan, bahawa program ini dapat memberi cetusan idea dan inspirasi kepada diri pelajar-pelajar ini untuk menanam impian dan cita-cita untuk menyambung pengajian ke menara gading. Dari pihak PMK, kami berharap agar program sebegini dapat diadakan lagi dengan kerjasama pihak sekolah pada masa akan datang dalam usaha memperkasa pendidikan sekaligus mempromosikan UPSI sebagai salah satu universiti pendidikan terkemuka negara.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)