Oleh: Dr. Sabarina Shafie, Dr. Rawdah Adawiyah Tarmizi, Nur Aina Syazana Ali Emran, Nordinie Amiera Shamsuddin

TANJONG MALIM – Persatuan Mahasiswa Matematik (PMMU) telah melaksanakan program Outreach 2.0: Mastermind Maths yang melibatkan seramai 30 orang fasilitator dan 2 orang pensyarah UPSI pada 4 Julai 2024 bertempat di Sekolah Kebangsaan Sungkai, Perak.

Program Outreach 2.0 : Mastermind Maths ini merupakan sebuah program kesinambungan daripada program Outreach 1.0: Math & AddMath Fun Games yang telah diadakan di MRSM Kuala Kubu Bharu sebelum ini yang bertujuan mengembangkan minat murid terhadap mata pelajaran Matematik di samping membantu murid menguasai dan mengaplikasi Matematik dalam pembelajaran serta kehidupan seharian.

Sesi ‘ ice breaking ’ dan pembahagian peserta kepada kumpulan-kumpulan kecil
Murid-murid bersemangat merebut peluang untuk menjadi kumpulan terbaik dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan

Program Outreach 2.0: Mastermind Maths melaksanakan aktiviti berbentuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang melibatkan 5 slot aktiviti iaitu Money Heist, Menara Impian, Emoji Breaker, Tampal dan Menang serta Merentas Masa. Aktiviti ini menggalakkan murid untuk mengira dengan pantas dan tepat dalam menyelesaikan masalah matematik yang melibatkan topik nombor bulat dan operasi, wang, bentuk geometri dan tiga dimensi, pembundaran serta masa dan waktu.

Pelaksanaan program Outreach 2.0: Mastermind Maths menerapkan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (Game Based Learning)  dapat mencapai objektif pembelajaran yang berkesan. Di samping itu  pendekatan ini juga dapat menanamkan kemahiran seperti kerja secara berpasukan, sosialisasi dan kepimpinan yang secara tidak langsung memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih komprehensif.

Fasilitator membantu murid-murid menyelesaikan tugasan kumpulan
Permainan “ Money Heist ” yang dikaitkan dengan topik Wang dalam silibus Matematik tahun 6

Melihat kepada impak dan respon positif yang diterima daripada pihak guru SK Sungkai serta murid yang terlibat dalam program Outreach 2.0: Mastermind Maths itu sendiri menjadikan program ini sebagai salah satu program yang berjaya dan sewajarnya dilakukan pada masa akan datang.