Oleh: Dr. Nurul Syafiqah Yap Abdullah dan Syarifah Mirna Binti Abdullah
Felda Kampong Soeharto, Hulu Selangor: Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) sekali lagi menganjurkan Program Jelajah Sains dan Matematik Sekolah Bitara FSM yang bertempat di SMK Kampong Soeharto yang juga merupakan penutup bagi program jelajah ini.
Program Jelajah Sains dan Matematik Siri-1 ini berjaya mengkongsikan ilmu dan memupuk semangat serta minat terhadap Sains dan Matematik menerusi respon dan kegembiraan yang terpancar pada wajah murid-murid sepanjang jelajah di 6 buah Sekolah Bitara FSM iaitu SMK Sri Tapah, SK Perlok, SK Kerling, SK Bandar Baru Batang Kali dan diakhiri dengan SMK Kampong Soeharto.
Program jelajah di SMK Kampong Soeharto ini merupakan hasil nukilan usaha Allayarhamah Prof. Madya Dr. Nor Zila bt Abd. Hamid yang merancang dan mendapat kerjasama yang baik daripada pihak sekolah.
Turut membantu menjayakan program ini adalah pasukan fasilitator yang diketuai oleh Syarifah Mirna binti Abdullah dan pensyarah pengiring, Dr. Nurul Syafiqah Yap bt Abdullah.
Seramai lebih kurang 60 orang murid yang terdiri daripada Tingkatan 3, 4 dan 5 terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dilaksanakan bagi memupuk minat dan pengetahuan murid dalam Sains dan Matematik, bermula dari sesi ‘Ice Breaking Sifir Matematik’, diikuti dengan aktiviti-aktiviti ‘hands-on’ konsep Sains dan Matematik seperti aktiviti Lampu Lava yang dapat mencungkil kefahaman terhadap konsep ketumpatan cecair.
Semoga program seperti ini dapat dianjurkan lagi di masa akan datang agar ilmu dan minat terhadap Sains dan Matematik akan dapat memanfaatkan dan memperkukuh murid-murid sekolah selari dengan aspirasi negara dalam menerapkan Kemahiran STEM.