Oleh: Muhammad Firzuan Sha’ari
Tanjong Malim, 8 Julai 2024 – Program Dapur Kasih KHAR bawah anjuran Majlis Tertinggi Majlis Mahasisiwa (MMK) Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2024/2025, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan jayanya sempena sambutan Awal Maal Hijrah 1446H dengan penglibatan seluruh warga KHAR.
Program ini dilaksanakan untuk mewujudkan semangat perpaduan, kesatuan dan rasa syukur dalam kalangan penghuni kolej amnya. Pihak pengurusan Kolej Kediaman Harun Aminurrashid mengambil peluang ini sebagai salah satu inisiatif dalam menjaga kebajikan penghuni-penghuni KHAR di samping berkongsi rezeki melalui sumbangan yang disalurkan melalui Tabung Qaseh KHAR yang baru sahaja dilancarkan dalam setahun ini.
Selain itu, program ini juga dapat mengukuhkan ukhwah dan sifat kekeluargaan antara pentadbiran kolej, barisan felo blok kediaman bersama penghuni-penghuni Kolej Harun Aminurrashid.
Hadir sama, Pengetua Kolej KHAR, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah dan juga barisan felo yang bersama-sama dengan AJK pelaksana program dan penghuni dalam program tersebut. Sebagai penaung utama di kolej KHAR, Dr Hj. Che Anuar amat menitikberatkan kebajikan penghuni yang dari pelbagai latar belakang terutamanya golongan B40.
Selain daripada sumbangan Foodbank KHAR yang diagihkan kepada penghuni setiap bulan, usaha murni ini juga turut membantu penghuni dari aspek menyediakan juadah makan tengahari yang dikongsi dan dirasai bersama-sama oleh semua penghuni KHAR. Beliau telah meluahkan rasa syukur terhadap pencapaian pelaksanaan program ini kerana ia berjaya menepati objektif dengan menekankan elemen kesepaduan dan kesyukuran.
Pengarah Program, Muhammad Zulhilmi Mohd Desa mengambil rasa tanggungjawab yang padu untuk bersama-sama dengan pihak pengurusan kolej, Ahli jawatankuasa dan seluruh warga KHAR untuk merealisasikan hasrat dan objektif program ini menerusi kerjasama dan semangat berpasukan.
Program berakhir dengan pengagihan makanan kepada seluruh penghuni Kolej Harun Aminurrashid, UPSI. 300 orang penghuni seronok menikmati juadah tengahari dengan penuh gembira dan syukur. Kehadiran dan kerjasama semua pihak yang terlibat menunjukkan bahawa KHAR adalah kolej yang prihatin dan sentiasa bersedia dalam menjaga kebajikan penghuni amnya.
Kejayaan program ini diharapkan dapat mendorong KHAR untuk terus dilaksanakan inisiatif murni ini kepada penghuni kolej dan menerapkan nilai-nilai murni dalam memperkukuhkan hubungan yang harmonis serta mesra antara pentadbiran, felo dan penghuni kolej.