Oleh: Umirul Ilyamaisara Rahmat
Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur, 29 Jun 2024 – Majlis Anak Johor (M@JOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Sekretariat Rukun Negara, Al-Mursyidin Club, Persatuan Hospitaliti dan Sains Konsumer, Kelab Sahabat Ulul Albab serta Jabatan Seni dan Reka Bentuk sebagai rakan kolaborasi telah melaksanakan program “Roof Over Hope: A Path To A Better Future” yang melibatkan 40 orang urusetia program, 9 orang jemputan VIP dan 30 orang gelandangan.
Menurut Pengarah Program, Noor Ezzuwa Fariesya Noordin yang juga Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa Majlis Anak Johor UPSI (M@JOR) menyatakan keperluan program sebegini diadakan bagi membentuk sikap bertanggungjawab terhadap masyarakat serta membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dari aspek yang berbeza. Oleh itu, sikap toleransi dalam kalangan penghuni gelandangan dan ahli jawatankuasa amat diperlukan bagi memastikan nilai-nilai positif dapat dipupuk melalui penglibatan di dalam program. Program sebegini bukan hanya membawa nama persatuan dan rakan kolaborasi malah mempromosikan kerjasama dan mengangkat nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di mata msyarakat.
“Pentingnya program sebegini bagi menunjukkan bahawa mahasiswa turut cakna dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui bantuan yang disediakan, pembangunan sosial dan perkongsian tanggungjawab yang strategik. Kerjasama dan komitmen yang jitu dari semua ahli jawatankuasa bersama-sama dengan rakan kolaborasi menjadi tonggak utama kejayaan program ini”.
Bermula pada jam 6.30 pagi, pergerakan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Setibanya di Pusat Transit, aktiviti dimulakan dengan taklimat bersama Pembantu Penyelia Anjung Kembara, Pusat Transit Kuala Lumpur, Encik Mohd Shaharwan bin Ahmad. Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan diteruskan dengan agenda utama iaitu aktiviti bersama penghuni Pusat Transit Gelandangan iaitu memasak kuih tradisional, melukis mural dan perkhidmatan gunting rambut untuk penghuni. Penghuni di pusat ini ialah kaum lelaki dan kebanyakkan dari mereka berumur 20 tahun dan ke atas. Aktiviti ini membantu mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan komuniti luar dan mengurangkan stigma sosial terhadap gelandangan.
Program diakhiri dengan majlis penutupan dan penyerahan sumbangan kepada penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur. Semasa majlis penutup Mohd Shaharwan bin Ahmad, Pembantu Penyelia Anjung Kembara, Pusat Transit Kuala Lumpr dalam ucapan penghargaan beliau ada menyatakan rasa syukur terhadap usaha sama pihak mahasiswa yang telah sedaya upaya membantu penghuni di pusat transit gelandangan ini kerana mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan untuk terus hidup. Gelandangan juga berhak mendapatkan peluang untuk hidup seperti sedia kala sama seperti masyarakat lain. Sokongan masyarakat sekeliling merupakan penguat dalam hidup mereka yang tiada tempat untuk bergantung.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan menjadi titik tolak kepada peningkatan sumbangan mahasiswa UPSI kepada masyarakat bagi menggalakkan pembangunan sosial yang mampan untuk masa akan datang.