Oleh: Zulaikha Abdullah
Kampung Sungai Mok: Orang Asli merujuk kepada suku pribumi yang terdiri daripada penduduk asal kawasan perhutanan semenanjung Malaysia. Orang asli di Malaysia terdiri daripada tiga pecahan utama suku kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang masing-masing dipecahkan kepada 18 pecahan suku kecil. Suku kaum Jakun merupakan orang asli yang mendiami kawasan Kampung Sungai Mok, Rompin, Pahang.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menganjurkan Program Khidmat Masyarakat: Jalinan Kasih Mahabbah yang bertujuan untuk memperluaskan akses kepada pendidikan dan menggalakkan pengetahuan dalam kalangan komuniti orang asli di Malaysia. Program ini meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan komuniti orang asli. Program-program tersebut dapat mencakupi pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur, ekonomi dan pelestarian budaya. Matlamatnya adalah untuk memberdayakan masyarakat orang asli supaya mereka mempunyai akses yang lebih baik kepada pendidikan, kesihatan, pekerjaan, serta untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya mereka.
Program yang digerakkan oleh Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) bersama Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan (PERMATEK) turut mendapat kerjasama oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pusat Transformasi Universiti (UCTC).
Pengetua UKLK, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob menyifatkan Program Khidmat Masyarakat yang dilaksanakan seperti ini membawa pelbagai manfaat kepada semua pihak yang terlibat kerana program ini dapat memberi kesedaran tentang keperluan yang mendesak untuk membantu masyarakat yang memerlukan khususnya dalam pembangunan sosial masyarakat orang asli.
“Program Khidmat Masyarakat: Jalinan Kasih Mahabbah memperkaya pengalaman mereka dalam berinteraksi dengan masyarakat. Ini adalah aspek penting yang dapat mempersiapkan mereka menghadapi dunia luar setelah tamat pengajian kelak. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menyelami kehidupan masyarakat setempat tetapi juga memperkukuhkan semangat kerjasama dan ukhuwah,”katanya lagi.
Yang Di-Pertua (YDP) MMKLK, Zulaikha Abdullah berkata, “Rasional pelaksanaan program ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat orang asli di Kampung Sungai Mok, Rompin, Pahang dengan mahasiswa UPSI.”
“Saya berharap lebih ramai lagi mahasiswa yang lebih cakna dalam menganjurkan program seperti ini agar mereka dapat mengetahui serta mempelajari sendiri gaya hidup masyarakat orang asli tidak kiralah dari segi pembangunan komuniti, pendidikan, sosio-ekonomi, alam sekitar, kebajikan dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Program bertujuan untuk membuka peluang kepada mahasiswa UPSI bagi menabur bakti kepada masyarakat selain dapat meningkatkan kualiti dan kemahiran sosial mahasiswa dengan membina hubungan baik antara masyarakat luar.
Program ini turut dihadiri oleh Pegawai JAKOA Daerah Rompin Pahang, Mohd Romzi Ismail, Yang Beradat Batin Kampung Sungai Mok, Ranap Man, barisan pentadbiran UKLK, penasihat MMKLK UKLK dan penasihat PERMATEK.