Oleh: Siti Nursyahirah Abdul Latip (Pelajar Latihan Industri BKK)

TANJONG MALIM, 10 Julai 2024: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) menganjurkan Majlis Syarahan Budiman yang bertajuk “Dinamika Pendidikan Tahfiz Al-Quran”. Syarahan tersebut disampaikan oleh Prof. Dr. Azmil Hashim yang diadakan di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), UPSI.

Majlis bermula dengan ucapan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli.

Beliau menjelaskan bahawa peranan yang dimainkan oleh tokoh ini sangat besar nilainya bukan sahaja kepada perkembangan pendidikan Al-Quran di UPSI, malah penting juga kepada perkembangan ilmu pendidikan dalam bidang tahfiz Al-Quran di negeri Perak dan seluruh Malaysia.

“Saya berani mengatakan bahawa saya amat kagum dengan kewibawaan, semangat dan pengorbanan yang beliau curahkan dalam memastikan pendidikan dalam bidang pengajian Islam terutamanya berkaitan tahfiz dapat diangkat dan diperkasakan”, ujar beliau.

Harapan beliau melalui syarahan ini, dapat memberikan peluang untuk merenung kembali usaha-usaha yg telah dilaksanakan serta mula merancang langkah-langkah seterusnya dalam memperkasakan pendidikan tahfiz. Ujar beliau lagi, syarahan ini turut akan memberi inspirasi untuk terus berusaha memajukan bidang pendidikan tahfiz di negara kita.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum binti Mohd Isa mengucapkan tahniah kepada beliau serta berkongsi biodata dan karakter Prof. Dr. Azmil Hashim sebagai seorang pengkaji yang tekun dalam pekerjaan beliau.

“Sesungguhnya, kesungguhan dan kecemerlangan yang ditampilkan telah berjaya melayakkan beliau menerima Anugerah Tesis PhD Terbaik, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Muhammad Yassin Yayasan Nurul Yaqeen, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, USM.”, tambah beliau.

Prof. Dr. Azmil Hashim, memulakan ucapan beliau dengan mendefinisikan Al-Quran sebagai sebuah kalamullah yang mengandungi mukjizat, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril a.s, ditulis kepada mushaf yang kemudian disampaikan secara mutawatir, membaca dan mempelajarinya merupakan ibadah yang dimulai dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah an-Nas.

Dalam syarahan beliau turut menjelaskan berkaitan sejarah penurunan al-Quran dan hukum menghafaz al-Quran pula adalah sebuah fardu kifayah.

Tambahnya dalam syarahan tersebut, beliau berkongsi terdapat enam pernyataan masalah utama dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan tahfiz. Enam pernyataan tersebut adalah dari segi pengurusan, pelaksanaan kurikulum yang tidak setaraf, pengajaran dan pembelajaran, pengiktirafan dan hala tuju pendidikan tahfiz, latihan guru sebagai tenaga pengajar serta kualiti murid.

Lantaran itu, penubuhan institusi-institusi ini juga perlu mendapat sokongan daripada pihak-pihak yang bertanggung jawab seperti pembinaan bangunan melalui Pihak Berkuasa Tempatan mengikut Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Seterusnya, turut menitikberatkan dari segi keselamatan dan kesihatan melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan.

“Antara usaha yang dilakukan adalah mewujudkan satu Garis Panduan Penubuhan dan Pendaftaran Sekolah Tahfiz Swasta Malaysia dan proses pemilihan sekolah tahfiz. Ianya supaya pendidikan tahfiz sejajar dan berada dalam arus perdana bersama dengan sekolah-sekolah pendidikan yang sedia ada.

Saya turut berusaha membina Model Pendidikan Tahfiz yang merangkumi pendekatan atau kaedah hafazan, strategi dan kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan. Model-model ini pula akan dibahagikan kepada tujuh iaitu Model Tahfiz Sepenuh Masa, Model Tahfiz Integrasi, Model Tahfiz Dini, Model Tahfiz Turath (Pengajian Kitab Pondok), Model Tahfiz Kemahiran, Model Tahfiz Sukan dan Model Tahfiz Pemulihan.” ujar beliau lagi.

Beliau akhiri syarahan beliau dengan harapan semoga pendidikan tahfiz di Malaysia akan terus berkembang demi hasrat negara dengan target untuk melahirkan setiap keluarga ada seorang yang huffaz yang menghafal al-Quran.

Majlis syarahan ini turut dihadiri oleh 40 orang delegasi daripada Universitas Sebelas Maret yang diketuai oleh Prof. Dr. Sri Marmoah, Kepala Program Studi Pendidikan Guru S2 Sekolah Dasar. Turut Hadir Pro Canselor Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Haji Aminuddin bin Haji Mohd Dom dan Pendaftar UPSI, En Helmi Zaifura Abdul Rahman.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)