Oleh : Arfan Aliudin Abd Aziz dan Noraini Aminuddin (FPE)
TANJONG MALIM 30 Januari: Seramai 41 orang pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kewangan Islam) semester 5 melibatkan diri dalam Seminar Ekonometrik di bawah kelolaan Kursus Ekonometrik dengan bertemakan “Kajian Empirikal Melalui Penggunaan Data Siri Masa” yang dianjurkan oleh Jabatan Ekonomi ini telah mendapat sokongan sepenuhnya dari pihak Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).
Menurut penasihat program Prof. Madya Dr. Norimah Rambeli @ Ramli, bidang ekonometrik ini mempunyai potensi yang besar kepada mahasiswa sekiranya berminat berkecimpung dalam bidang data analisis.
“Seminar ini menjadi wadah kepada pelajar untuk menyelami sendiri pengalaman menghadiri seminar sebenar apabila bekerja nanti dan secara tidak langsung berpeluang mendalami ilmu penyelidikan yang asas sebelum berkecimpung dalam bidang analisis sebenar apabila bekerjaya nanti”, ujar beliau.
Seminar Ekonometrik adalah merupakan kemuncak kepada projek ekonometrik yang berlangsung selama 14 minggu, berakhir dengan pembentangan kertas kerja oleh setiap pelajar mengikut kumpulan projek masing-masing.
Dengan berpandukan pembelajaran berpusatkan pelajar diharapkan dapat memberi sasaran yang jelas untuk melahirkan generasi celik pengurusan data besar yang bertepatan dengan hala tuju Malaysia MADANI.
Bagi memastikan penghasilan kertas kerja yang terbaik dalam kalangan pelajar, proses penjurian telah dilaksanakan di sepanjang seminar berlangsung yang diketuai oleh pensyarah kursus sendiri iaitu Prof. Madya Dr. Norimah Rambeli dan Puan Emilda Hashim serta ucaptama yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Norasibah Abdul Jalil dengan tajuk “Analisis Data Siri Masa dalam Era Digital”.
Di kemuncak Seminar Ekonometrik, Nurul Syuhadah Ahmad Sabri berjaya memenangi Tokoh Ekonometrik Muda dan 3 pembentang terbaik milik Muhammad Muzakkir Mohd Saidin Hadri, Muhammad Ariff Kamaruzaman dan Muhammad Syazwan Rosley.
Selain itu seminar itu turut mengiktiraf sebilangan pelajar yang gigih menyiapkan kertas kerja projek ekonometrik dengan penuh dedikasi melalui pengiktirafan 9 tokoh Anugerah Khas Bitara iaitu Muhammad Ariff Kamaruzaman, Muhammad Syazwan Rosley, Muhammad Irfan Dania Shaari @ Mohd Farid, Nur Tasnim Mohd Amin, Muhammad Khairuddin Ismail, Syafiah Hayani Sobri, Nurul Syuhadah Ahmad Sabri, Quratulain Sakeena Mohd Anuar, dan Syahmi Hadif Shamudin di mana Ketua Jabatan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Zainizam Zakariya menyampaikan anugerah-anugerah ini kepada para pelajar di akhir sesi tersebut.
Dengan adanya Seminar Ekonometrik ini secara langsung menjadi bukti komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi oleh FPE, UPSI di bawah Jabatan Ekonomi untuk menyediakan platform terbaik kepada pelajar bagi merasai sendiri pelaksanaan seminar di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Seminar ekonometrik ini juga merupakan satu usaha gigih jabatan Ekonomi melalui kursus PEQ 3023 (Ekonometrik) bagi melahirkan generasi celik penyelidikan untuk negara.