Oleh: Cik Ummikalsum Mat Lazim dan Cik Natasya Farina Rashid
Tanjong Malim – Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan menerima lawatan ilmiah dari pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Perlis pada 17 Julai 2024.
Program yang disertai oleh 26 orang pelajar bersama enam guru pengiring dan disambut meriah oleh barisan Exco Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat (PTQ) serta barisan para pensyarah daripada Jabatan Pengajian Islam.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai program sarjana muda yang ditawarkan di UPSI serta menambah pengetahuan mengenai beberapa program dan kursus yang ditawarkan serta syarat kelayakan sebagai persediaan untuk menyambung pengajian selepas tamat menduduki STPM nanti.
Selain itu, Prof. Madya Dr Zanariah Noor, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam turut memberikan perkongsian berkaitan sejarah, latar belakang penubuhan jabatan dan fakulti serta syarat kelayakan selain turut berkongsi tentang peluang untuk melanjutkan pelajaran di UPSI.
Menurut Ustaz Mazrisyam Sharif Guru Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Agama Arau, lawatan ini diadakan sebagai pendedahan awal kepada pelajar Tingkatan 6 menerusi bagi merungkai masalah dan mendedahkan pelajar-pelajar kepada suasana pembelajaran di peringkat universiti secara realiti.
Para pelajar SMK Agama Arau juga diberi peluang melawat beberapa kawasan universiti termasuk Bangunan e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim serta sekitar Kampus Sultan Azlan Shah, Proton CIty bagi mengenali universiti ini dengan lebih dekat.
Hasil maklum balas yang diterima, lawatan ilmiah ini berupaya menarik minat dan semangat para pelajar SMK Agama Arau, Perlis untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti ini suatu hari nanti.
Mengulas tentang keberkesanan program ini, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan Dr. Abu Zarrin Bin Selamat berkata lawatan ilmiah seperti ini amat digalakkan dapat memberi pendedahan dan platform yang sangat berkesan bagi mempelajari dan mengetahui lebih mendalam signifikan tentang bidang Pengajian Islam di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Semoga melalui lawatan ini dapat memberi maklumat dan pengetahuan kepada para pelajar mengenai UPSI terutamanya pendedahan kepada program-program yang ditawarkan sekaligus dapat menarik minat pelajar untuk menyambung pengajian di UPSI.