Oleh : Muhamad Aiman Hakim Mohd Saufi, Ahda Fauzi, dan Cik Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim – Persatuan Tahfiz Al-Quran Dan Qiraat (PTQ) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Persatuan Sekretariat Pengajian Qiraat USIM, Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM berjaya menganjurkan Program Seminar Qiraat Ifrad dan Jamak peringkat Kebangsaan tahun 2024 melibatkan 148 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara termasuk mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Darul Quran JAKIM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Maahad Qiraat Azhar (MAQAZ) Shoubra, Mesir, Persatuan Qiraat Malaysia (PQM) serta orang awam yang diadakan di Dewan Kuliah, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat pertama kalinya menganjurkan Seminar Qiraat Ifrad Dan Jamak Peringkat Kebangsaan bertujuan untuk memperkenalkan kepentingan ilmu qiraat, meningkatkan lagi pengetahuan dalam bidang qiraat serta cabang-cabang ilmu qiraat terutamanya bagi mahasiswa dan mahasiswi mengambil kursus berkaitan qiraat.
Seminar ini merupakan satu platform yang sesuai kepada semua penuntut ilmu untuk mempelajari ilmu qiraat serta memperkukuhkan lagi bidang pendidikan khususnya dalam bidang qiraat selain memberi peluang menjalinkan hubungan antara peserta-peserta seminar ini.
Impak penganjuran seminar ini dapat membentuk jati diri dan motivasi mahasiswa untuk memperlihatkan identiti sebagai penggerak dalam institusi tahfiz seluruh negara.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Fakulti Sains Kemanusiaan, Dr. Abu Zarrin Selamat dalam merasmikan seminar ini berkata “penganjuran seminar ini sangat memberi impak yang luar biasa dalam memperluaskan ilmu qiraat dalam kalangan masyarakat. Justeru itu, program seperti ini hendaklah diteruskan pada masa yang akan datang”.
Beberapa inisiatif program termasuklah pembentangan kertas kerja seminar oleh panel pembentang yang mahir dalam ilmu Qiraat antaranya Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, (USIM) Dr, NorAzman Alias dengan tajuk Asal Usul Bacaan Qiraat Ifrad Dan Jamak.
Pembentang kedua Pensyarah Jabatan Pengajian Islam (UPSI) Dr. Abdul Jalal Abdul Manaf membahaskan tajuk Variasi Gaya Bacaan Usul Ifrad Qiraat Assyarah Sughra.
Pembentangan seterusnya Ustaz Muhammad Syazani Jemy, Guru Talaqqi Al-Quran Dan Qiraat membahaskan tajuk berkaitan Teknik Dan Tips Mempraktikkan Bacaan Jamak Qiraat Assyarah Sughra. Para peserta turut diberi peluang dalam mempratikkan bacaan dihadapan panel.
Seminar ini diakhiri dengan slot ketiga iaitu Teknik Dan Tips Mempraktikkan Bacaan Jamak Qiraat Assyarah Sughra yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syazani Jemy, Guru Talaqqi Al-Quran Dan Qiraat. Para peserta turut diberi peluang dalam mempratikkan bacaan dihadapan panel.
Menurut Pengarah Program, Muhamad Aiman Hakim Mohd Saufi berkata “seminar yang dianjurkan ini bertepatan dengan objektif program iaitu mengeratkan ukhuwah sesama ahli PTQ dengan mahasiswa dan mahasiswi Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta meningkatkan kefahaman dengan lebih mendalam berkaitan cabang-cabang ilmu qiraat.
Penganjuran seminar ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) iaitu meningkatkan pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi terhadap ilmu qiraat disamping mempelajari ilmu-ilmu baharu (SDG 4: pendidikan berkualiti) dan mengeratkan hubungan sesama mahasiswa dan mahasiswi serta mewujudkan suasana yang aman dan inklusif dalam jati diri mahasiswa (SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh).
Akhir kalam, pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta daripada UPSI, USIM, PQM, MAQAZ dan orang awam serta semua ahli jawatankuasa pelaksana dalam menjayakan Seminar Qiraat Ifrad Dan Jamak peringkat Kebangsaan pada kali ini.