Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin & Nur Syafiqah Bakhtin

Kuala Lipis, 12 Julai 2024 – Mahasiswa Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam Projek Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program) di bawah dana tajaan Geran KTP RMIC UPSI sekali lagi menjayakan program Kembara Angka bagi siri ketiga yang berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis, Kuala Lipis. Program bersiri ini telah dilaksanakan pada 12 Julai lalu bersama Pejabat Pendidikan Daerah Lipis yang terdiri daripada 14 buah sekolah di daerah Lipis melibatkan 46 orang murid dan 14 orang guru matematik.

Program perkongsian mengenai kit matematik yang diberi nama Kit Mabox, Kit Transiso dan Kit Algebase ini telah mendapat perhatian sebagai salah satu pendekatan efektif dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP) matematik di sekolah.

Program ini juga bertujuan untuk menggalakkan kolaborasi antara guru dan murid dalam penggunaan bahan bantu mengajar yang kreatif dan inovatif disamping menyediakan pengalaman pembelajaran yang mendalam dengan memanfaatkan teknologi dan alat bantu yang sesuai.

Pensyarah FSM selaku Penyelaras Program, Prof. Madya Ts. Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin berkata melalui program ini, guru dapat mengenal pasti keperluan dan kesukaran yang dihadapi oleh murid dalam memahami konsep matematik tertentu. Murid juga berpeluang untuk menyuarakan pendapat dan idea mereka, seterusnya meningkatkan penglibatan dan minat mereka terhadap subjek matematik.

“Penggunaan Kit Matematik yang dihasilkan mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KPM ini bukan sahaja memudahkan penyampaian konsep yang kompleks, malah membantu murid memahami beberapa topik matematik yang sukar diajar menggunakan kaedah tradisional iaitu chalk and talk di dalam kelas seperti sebelum ini,” ujarnya.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata, dengan pendekatan dari Jabatan Matematik, FSM yang kreatif dan inovatif ini diharapkan lebih ramai murid akan berjaya dalam pembelajaran matematik dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat meningkatkan minat murid di dalam bidang STEM secara amnya.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, inisiatif pensyarah turun padang berkongsi ilmu ini telah membuka peluang untuk meningkatkan profesionalisme guru di dalam menambahbaik teknik pengajaran Matematik di era revolusi 4.0. Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anuar Ibrahim yang mahu semua agensi berkaitan membantu usaha sama KPM untuk memupuk minat STEM di kalangan murid di Malaysia melalui sumber Astro Awani. Dengan adanya program berbentuk komuniti sebegini, ia secara tidak langsung telah dapat mendekatkan lagi hubungan di antara pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi yang bekerjasama dalam membantu membangunkan bidang pendidikan di negara ini.

Secara keseluruhannya, program Kembara Angka siri 3 ini merupakan inisiatif yang berpotensi besar dalam memperkasa PdP matematik di sekolah. Diharap program sebegini dapat diperluaskan lagi di seluruh sekolah di Malaysia dalam melahirkan generasi yang bijak dan mampu bersaing di dalam bidang STEM bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.