Oleh: Nur Syaidatul Hidayah Abdullah dan Nor Hayati Aziz
TANJONG MALIM, 20 Jun 2024 – Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Rising Shine di Bitarasiswa, UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).
Program Rising Shine bertujuan melahirkan pelajar dengan pengetahuan asas mengenai penggunaan bahasa isyarat dan kesedaran tentang kepentingan keusahawanan. Program ini juga menyediakan peluang kepada pelajar untuk memahami cabaran dan pencapaian golongan usahawan dan orang kurang upaya (OKU), memperluas pemahaman tentang inklusiviti dan keusahawanan.
Program yang menampilkan sesi pendedahan bahasa isyarat oleh alumni UPSI Mohammad Zhafir Mohamed Yazik, yang menekankan pentingnya bahasa isyarat sebagai alat komunikasi dengan OKU. Selain itu, forum keusahawanan yang dikendalikan oleh Mohammad Huzaid Haris Ismail dan Nor Zaidah Ab Rahman berkongsi pengalaman mereka mengatasi cabaran dan mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan, memberi motivasi kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi keusahawanan mereka.
Pengarah program, Nur Syaidatul Hidayah Abdullah menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program yang dirangka sejak April lalu. “Program Rising Star telah memberikan impak signifikan kepada mahasiswa UPSI,” katanya.
Melalui slot “Sign of Love“, kesedaran terhadap bahasa isyarat ditingkatkan dengan peserta diajar cara-cara menggunakan bahasa isyarat sebagai alat komunikasi dengan OKU, membuka pintu kepada pemahaman lebih mendalam tentang keperluan mereka dalam masyarakat. Slot “Social Youth Entrepreneur Programme” pula mengilhamkan mahasiswa dengan pengalaman dan kisah kejayaan dari panel-panel keusahawanan, termasuk mereka dari golongan OKU, membuktikan kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan.
Program ini turut menampilkan Fiesta Mini Kreatif, yang menawarkan pelbagai produk makanan dan kraf tangan serta menyediakan platform kepada pelajar untuk berniaga. Ini memperkukuhkan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan memberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari.