Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan hormat delegasi daripada Universitas Islam Negeri Sultan Maulana Hasanuddin Banten, Indonesia pada 18 Julai di Perpustakaan Tuanku Bainun, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Lawatan yang melibatkan 28 orang delegasi daripada UNY Sultan Maulana Hasanuddin Banten ini bertujuan mengukuhkan jalinan kerjasama antarabangsa antara kedua-dua universiti ini.
Sesi lawatan ini dimulai dengan ucapan aluan oleh Timbalan Pengarah 1, Pusat Antarabangsa Dan Mobiliti, Dr. Nor Fadila Kasim.
Menerusi ucapan tersebut, beliau turut menerangkan mengenai latar belakang UPSI, program pengajian yang dilaksanakan dan anugerah yang diperolehi di UPSI.
Sementara itu, wakil delegasi UNY Sultan Maulana Hasanuddin Banten, Prof. Dr. Encep Syarifudin berkata UPSI menjadi universiti rujukan dan penanda aras bagi mereka dalam membentuk sistem pendidikan unggul di universiti mereka.
Lawatan ini juga menyaksikan sesi perbincangan mengenai penerbital jurnal, pertukaran pelajar antarabangsa, seminar dan sistem pembelajaran universiti.
Menurut Timbalan Dekan (Kemasukan & Pengkuliahan) Institut Pengajian Siswazah UPSI, Prof Madya Dr. Hartini Jaafar berkata UNY Sultan Maulana Hasanuddin Banten sudah tidak asing bagi mereka dalam menjalinkan hubungan kerjasama.
“Sebelum ini pihak Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI telah beberapa kali menghantar pensyarah dalam bidang Kewangan Islam dan Perakaunan sebagai tenaga pengajar di universiti tersebut,” katanya.