Oleh: Bazli Razak
Shah Alam 21 Julai 2024 – Majlis Pelancaran Latihan Pendidik (LPP) UPSI – PERTIM dirasmikan sempena Majlis Anugerah Tadika Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (ATIWIS) 2024 pada 20 Julai 2024.
Majlis yang diadakan di dewan utama, pusat konvensyen SACC, Shah Alam, Selangor dirasmikan oleh Isteri Menteri Besar Selangor, YAB Datin Seri Hajah Masdiana Mohamad; ADUN Batu Tiga, YB Tuan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid; Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI, Prof Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim dan Pengerusi Persatuan Tadika Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERTIWIS), Puan Hajah Siti Ruzita Ramli.
Melalui Pelancaran ini, dilihat dapat menjadi satu permulaan yang baik buat FPM XCELL yang merupakan Strategic Business Unit (SBU) FPM dalam peluang penjanaan melalui kolaborasi bersama Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) untuk mengwujudkan satu platform latihan profesional pada Projek Latihan Pendidik PERTIM di bawah Unit Professional Education.
PERTIM adalah Persatuan Tadika Islam Malaysia yang merupakan satu Persatuan yang mempunyai ahli dalam kalangan pengusaha Tadika Islam di seluruh Malaysia.
LPP berbentuk latihan bersiri dengan pelbagai tajuk berkaitan dengan Pedagogi Pendidikan untuk guru khususnya guru tadika.
Menurut Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersialan (TDJIP) FPM, Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi, beliau berbesar hati kerana diberikan kepercayaan untuk mengzahirkan kolaborasi FPM@UPSI ini dengan PERTIM Wilayah Persekutuan dan Selangor (PERTIWIS).
“Disamping, menjalinkan hubungan bersama industri pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Tambahan pula, kandungan dan platform kursus profesional LPP ini dibangunkan sendiri oleh pensyarah-pensyarah muda di fakulti dan mendapat sokongan geran universiti,” katanya.
UPSI berharap dapat memperkukuhkan kerjasama dengan pihak industri, memahami keperluan mereka, dan menyesuaikan kurikulum serta program latihan untuk memenuhi permintaan tersebut.
Melalui pelancaran LPP UPSI-PERTIM dalam majlis ini, UPSI berharap dapat memperkenalkan dan mempromosikan program-program akademik mereka, serta meningkatkan pengiktirafan terhadap usaha universiti dalam melahirkan guru-guru yang berkualiti dan berdaya saing.