Editor: Muhamad Haikal bin Musa
Tanjong Malim, 21 Julai – Hari yang dinantikan akhirnya tiba. Pendaftaran kemasukan pelajar baharu bagi program Diploma ambilan Julai 2024/25 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan jayanya. Sebanyak 111 sukarelawan, terdiri daripada Rakan Minggu Intelektuan dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) melibatkan mahasiswa diploma dan ijazah sarjana muda UPSI bersama-sama berganding bahu memastikan kelancaran pendaftaran ini.
Seawal jam 7.30 pagi, kawasan pendaftaran telah dibanjiri dengan pelajar baharu dan ibu bapa yang hadir dari seluruh pelosok negeri. Keadaan yang sesak dapat dikawal oleh Bahagian Keselamatan UPSI dan turut dibantu sukarelawan Rakan MILLENIA. Walau berhadapan dengan cuaca yang mencabar, semangat mereka tidak luntur. Kesepakatan dan komitmen mereka jelas terlihat apabila proses pendaftaran yang berlangsung hingga jam 2.00 petang berjalan dengan lancar.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, turut hadir untuk menyaksikan sendiri pendaftaran seramai 587 pelajar baharu yang berjaya mendaftar. Beliau ditemani oleh Puan Hajah Maskana binti Ahmad, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, serta Dr. Mardiana binti Ismail, Pengetua Kolej Awang Had Salleh. Kehadiran mereka memberikan suntikan semangat kepada para pelajar baharu dan ibu bapa yang hadir. Dr. Mardiana dan pihak pengurusan universiti turut meluangkan masa menyantuni ibu bapa, menunjukkan keprihatinan dan penghargaan mereka.
Proses pendaftaran ini mendapat pujian tinggi daripada ibu bapa. Mereka menyatakan bahawa segala urusan berjalan dengan sangat lancar dan teratur, menjadikan pengalaman pendaftaran satu kenangan manis. Dalam dialog yang penuh mesra, Profesor Dr. Norkhalid mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya mendaftar diri di universiti yang bertuah ini. Beliau turut mengucapkan selamat datang kepada pelajar baharu, berharap agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan baik dan menempuh perjalanan akademik dengan cemerlang di UPSI.
“Sebagai bakal pendidik dan pemimpin masa depan, saya ingin menekankan betapa pentingnya adab dan akhlak dalam kehidupan seharian anda. Adab dan akhlak adalah asas kepada pembentukan sahsiah diri yang unggul dan menjadi cerminan kepada nilai-nilai murni yang kita pegang,” ujar, Prof. Dr. Norkhalid.
Para pelajar baharu ini akan memulakan sesi orientasi bermula 21 Julai sehingga 25 Julai 2024. Orientasi ini bertujuan untuk memperkenalkan mereka kepada kehidupan kampus, budaya universiti, serta memberi pendedahan awal tentang pembelajaran di UPSI. Ia adalah satu pengalaman yang akan membentuk asas penting bagi perjalanan akademik mereka kelak.
Momen-momen manis dan penuh makna ini menjadi saksi kepada komitmen dan dedikasi semua yang terlibat dalam menjayakan pendaftaran pelajar baharu ini. Dari sinilah bermulanya satu perjalanan yang akan membuka lembaran baru dalam kehidupan para pelajar setelah mereka bergelar “Anak Kandung Suluh Budiman”.