Editor: Muhamad Haikal bin Musa dan Harith
Tanjong Malim, 21 Julai 2024 – Seramai 587 pelajar baharu berjaya ditempatkan di Kolej Awang Had Salleh (KAHS) bagi program Diploma ambilan Julai 2024/25. Proses pendaftaran yang berlangsung dengan lancar ini mendapat kerjasama penuh daripada pihak Pentadbiran, Felo, dan Majlis Mahasiswa Kolej sesi 2024/25. Pendaftaran kali ini melibatkan pelajar yang terdiri daripada tujuh buah fakulti antaranya FBK, FKMT, FMSP, FPE, FPM, FSM dan FSSKJ.
Persiapan telah dilaksanakan bagi memastikan semua pelajar baharu dapat ditempatkan dengan selesa di KAHS. Pihak yang terlibat dalam pengurusan kolej telah berjaya menambah kapasiti penginapan dalam masa yang ditetapkan, sekali gus memastikan setiap pelajar mendapat tempat tinggal yang sesuai. Usaha ini melibatkan semua pihak yang bekerja keras untuk memudahkan perjalanan penempatan pelajar.
Pengetua KAHS, Dr. Mardiana Ismail, turut hadir menyantuni ibu bapa dan pelajar baharu sepanjang proses pendaftaran. Dalam ucapannya yang ringkas, Dr. Mardiana menekankan kepentingan mematuhi peraturan dan tatasusila kolej. Beliau mengingatkan para pelajar agar sentiasa menjaga disiplin dan menghormati satu sama lain dalam kehidupan seharian di kolej.
“Selamat datang ke Kolej Awang Had Salleh. Saya berharap anda semua dapat menyesuaikan diri dengan baik di sini. Jagalah peraturan dan tatasusila kolej kerana ia adalah kunci kepada kehidupan yang harmoni dan berjaya di kampus ini,” ujar Dr. Mardiana dalam ucapannya.
Para pelajar baharu juga berpeluang merasmikan katil-katil baharu serta menikmati fasiliti-fasiliti yang telah ditambah baik di KAHS. Keadaan ini memberikan keselesaan tambahan kepada mereka yang baru melangkah ke alam universiti.
Kehadiran ibu bapa yang menemani anak-anak mereka sepanjang proses pendaftaran menambah lagi suasana mesra dan penuh harapan di KAHS. Pihak pengurusan kolej menerima pujian atas usaha mereka memastikan segala urusan berjalan lancar dan teratur.
Dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh semua pihak, diharapkan para pelajar baharu ini dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan mencintai kehidupan di Kolej Awang Had Salleh. Selamat berjaya dan semoga menikmati pengalaman indah sepanjang berada di sini!