Oleh: Muhammad Afiq Ikhmal Suhaimi

Surabaya,Malang, Indonesia – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama Pusat Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghantar empat orang wakil mahasiswa UPSI sebagai sekretariat di bawah ASEAN University Sport Council (AUSC) untuk mengendalikan kejohanan Sukan Universiti ASEAN ke-21 (AUG) bermula dari 25 Jun hingga 6 Julai lalu.

Selain daripada membantu menguruskan AUG, sekretariat yang terlibat juga bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai Pegawai Perhubungan (Liaison Officer), yang bertindak sebagai penghubung antara atlet dan pihak penganjur.

“Pengalaman yang diperoleh semasa mengendalikan program peringkat antarabangsa ini sangat berharga kerana kami dapat mempelajari pelbagai aspek pengurusan acara dan berinteraksi dengan wakil dari pelbagai negara ASEAN. Pengalaman ini juga mendorong kami untuk mengembangkan kemahiran adaptasi global, iaitu kemampuan untuk menyesuaikan diri dan bekerja dalam persekitaran antarabangsa yang pelbagai budaya,” kata wakil sekretariat AUG.

Pada hari ketiga dan keempat, berlangsungnya persidangan berkaitan sukan yang memberikan pelbagai input dan peluang kepada para peserta. Persidangan ini juga menekankan pentingnya adaptasi global dalam bidang sukan, terutama dalam pengurusan dan penganjuran acara antarabangsa.

Dalam Majlis Apresiasi Naib Canselor, istilah BITARA yang merujuk kepada “Adaptasi Global” (A yang kedua) ditekankan sebagai satu prinsip penting dalam diri mahasiswa UPSI. Adaptasi global bukan sahaja melibatkan pemahaman tentang budaya dan amalan negara lain, tetapi juga keupayaan untuk bekerjasama dan berkomunikasi secara efektif dengan individu dari pelbagai latar belakang.

Program seperti ini perlu diteruskan lagi pada masa hadapan bagi membentuk pelajar yang berkualiti dalam bidang akademik dan juga kemahiran pengurusan. Pengalaman sebagai sekretariat AUSC telah membuktikan betapa pentingnya adaptasi global dalam menghadapi cabaran dan peluang di peringkat antarabangsa.