Oleh: Bazli Razak

TANJUNG MALIM: Huawei Technologies (M) Sdn Bhd menjalinkan hubungan kerjasama bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi pelaksanaan program latihan dan pensijilan profesional kepada staf dan pelajar.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kerjasamana ini membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jalinan kerjasama pihak industri dan pada masa yang sama meningkatkan kompetensi staf teknikal di UPSI.

“Program ini dapat memupuk bakat ICT dan membantu pelajar agar lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan serta membantu mencipta penghubung antara pendidikan akademik dan industri,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua  Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad berkata, pelaksanaan program ini selaras dengan inisiatif MyDIGITAL menerusi dua (2) teras strategik iaitu membina bakat digital yang tangkas dan kompeten dan mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.

“Seramai 15 orang staf dan pensyarah serta 87 orang pelajar daripada Fakulti Komputeran & Meta Teknologi (META) telah diberi latihan bagi pensijilan Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).

“Program ini akan diadakan secara berterusan dalam usaha membangunkan bakat ICT tempatan serta menggalakkan pembangunan serantau dan penyertaan dalam komuniti digital,” katanya.

Manakala Ketua  Sektor Awam Huawei, Perniagaan Awan Malaysia, Pn. Ismanita Ismail pula berkata bahawa pihaknya berbangga kerana dapat bersama-sama dengan UPSI dalam menyediakan pendidikan kepada generasi semasa dan membolehkan mereka menjadi lebih bersedia bagi pembangunan ICT.

“Huawei komited untuk menyediakan sistem pembangunan bakat dan piawaian pensijilan, membangunkan profesional ICT baharu dalam era digital dan membina ekosistem bakat ICT.

“Dalam tempoh tiga tahun, Huawei berharap dapat menyasarkan  lebih ramai pelajar IPTA dan kakitangan sektor awam yang akan menerima manfaat daripada program latihan pensijilan Huawei,” tambah beliau.

Beliau berkata bahawa program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada pensijilan pengkomputeran awan yang terdapat di Huawei.

“Program latihan dan pembangunan bakat ini bukan sahaja memenuhi tuntutan industri semasa tetapi meningkatkan potensi diri staf dan pelajar serta menyemai kemahiran baharu,” katanya.