Oleh: Aina Syahirah Azmi & Umi Nabila Ahmad Zani (Fakulti Sains Kemanusiaan)
TANJONG MALIM, 3 JULAI – Seramai 30 orang ahli komuniti dan guru di SK Pos Gedong berjaya mengikuti Kursus Asas Ternakan Kelulut anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kursus yang dilaksanakan pada 3 dan 4 Julai 2024 bertempat di SK Pos Gedong ini berjaya menarik penyertaan yang sangat luar biasa daripada penduduk setempat.
Selain daripada ditunjukkan kaedah yang tepat pemotongan log kelulut dan pemasangan topping, peserta juga diajar cara menghasilkan perangkap kelulut sebagai salah satu cara mudah untuk memperolehi koloni kelulut.
Bahan-bahan terpakai seperti botol plastik yang digunakan untuk membuat perangkap bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malah dapat menerapkan sikap menghargai kebersihan alam sekitar dalam kalangan peserta.


Pemindahan ilmu pembuatan perangkap ini disampaikan oleh Muhammad Ammar Aiman yang merupakan pelajar CPE2031 Kursus Ternakan Kelulut di UPSI.
Prof Madya Dr Kamarul Ismail selaku pengarah program berkata, program pemindahan ilmu dalam kalangan komuniti orang asli ini adalah sasaran yang tepat kerana mereka menjadikan hasil madu sebagai salah satu mata pencarian.
Kaedah penuaian madu kelulut secara konvensional yang melibatkan penebangan pokok dan merosakan koloni kelulut menyebabkan sumber madu asli ini semakin sukar diperolehi.

Selain itu, perubahan iklim global yang berlaku sekarang menyebabkan pengeluaran madu asli telah menurun dengan signifikan.
Oleh itu, program pemindahan ilmu yang diterajui oleh UCTC ini berupaya memberi pengetahuan dan teknologi baharu dalam proses penghasilan madu kelulut.
Kursus ternakan kelulut yang disertai oleh penduduk di Pos Gedong ini bukan sahaja membolehkan penuaian madu dilakukan secara berterusan, malahan dapat memastikan kelestarian koloni kelulut yang berfungsi sebagai agen pendebungaan yang sangat penting kepada persekitaran.
Dr Mohd Syariefuddin Abdullah yang menjadi perantara UPSI dengan komuniti Pos Gedong berkata, ternakan kelulut di pos Gedong bukan sahaja membantu komuniti untuk menjana pendapatan melalui jualan madu, malahan dapat meningkatkan mutu dan penghasilan buah-buahan tempatan seperti durian, petai dan rambutan.
Semua tumbuhan berbunga ini sangat bergantung kepada kelulut sebagai agen pendebungaan untuk menghasilkan buah-buahan yang berkualiti dan meningkatkan kuantiti penghasilan.
Peningkatan agen pendebungaan secara tindak langsung akan meingkatkan pengeluaran hasil buah-buahan penduduk tempatan pada masa hadapan.
Anis Sapina Abdullah yang merupakan salah seorang peserta kursus asas ternakan kelulut di Pos Gedong berterima kasih kepada UCTC kerana melaksanakan program pemindahan ilmu disini.
Menurut Anis Sapina, dia dan suaminya pernah mencuba untuk menjalankan aktiviti ternakan kelulut, namun disebabkan tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan menyebabkan usaha mereka tidak berjaya.

Kursus asas yang dilaksanakan ini memberi banyak pengetahuan, ilmu baharu dan keyakinan kepada mereka untuk menceburi bidang ternakan kelulut.
Sementara itu, Guru Besar SK Pos Gedong Tuan Haji Azman Abdul Manaf berkata kursus seperti ini memberi manfaat yang sangat besar kepada komuniti, ini kerana sijil penyertaan kursus boleh digunakan oleh para peserta untuk mendapatkan bantuan kewangan dan khidmat nasihat daripada JAKOA untuk memulakan projek ternakan kelulut.

Beliau berkata, pihak sekolah berterima kasih kepada UPSI, khususnya UCTC kerana mengadakan program yang sangat bermanfaat ini. Pihak sekolah bersedia menjadi tuan rumah bagi sahaja program yang dijalankan oleh pihak universiti demi untuk memastikan komuniti di Pos Gedong dapat meningkatkan taraf pendidikan dan menjana ekonomi masyarakat penduduk setempat.
