Oleh: Bazli Razak
Lenggong- Seorang pensyarah, Dr. Benderi Dasril dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul naib johan bagi kategori campuran dalam Lenggong Kayak Orienteering Championship 2024 edisi ke-2 yang berakhir pada 27 Julai lalu.
Pensyarah itu mencatat masa 6 jam 25 minit sejauh 39 KM bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM 600.
“Saya bersyukur kerana berjaya memperolehi tempat kedua dalam acara ini walaupun setiap peserta yang sertai acara ini menunjukkan semangat juang yang tinggi hingga ke penamat.
“Terima kasih kepada pihak penganjur, kru dan semua penyokong yang hadir pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lenggong Kayak Orienteering Championship 2024 ialah perlumbaan bermasa dan mengumpul mata, berformat berpasukan dua orang, pelepasan, ditetapkan masa oleh ‘score board time’ dan peserta bernavigasi secara sendiri, berpandukan peta yang diberi dan titik kawalan yang ditunjukkan pada peta orienteering, kedudukan ‘control flag’ juga ditentukan di dalam ‘peta orienteering’.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Menurut beliau, kejohanan edisi ke-2 ini disokong oleh sepenuhnya oleh Majlis Pelancongan Lenggong.
“Acara sukan pelancongan ini memberi impak besar kepada sektor pelancongan domestik dan antarabangsa di Lenggong, yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan,” ujar beliau.
Lenggong Kayak Orienteering Championship 2024 edisi ke-2 dianjurkan oleh Akademi Orienteering Malaysia (AKOM) bertempat di Tasik Raban, Lenggong, Perak.