Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima kunjungan daripada Universiti Linyi, Shandong China bagi menjalin kerjasama berfokuskan kepada Latihan Industri pelajar.

Majlis yang dipengerusikan oleh Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff ini membincangkan mengenai 4 kluster iaitu tempoh masa Latihan Mengajar bagi program Bahasa Cina, pembukaan pusat Universiti Linyi di fakulti UPSI, program dual degree bagi Ijazah Pengurusan dan Komunikasi serta penempatan Latihan Industri untuk pelajar UPSI dan Linyi University secara timbal balik.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata kerjasama ini bertujuan untuk meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan.

“Saya melihat pelaksanaan kerjasama ini dari sudut yang sangat positif kerana saya yakin dan percaya bahawa kerjasama antara Linyi University dan UPSI dapat mencapai objektif yang disasarkan.

“UPSI komited untuk bekerjasama dengan Universiti Linyi untuk meningkatkan kualiti pendidikan melalui pertukaran pelajar, Latihan Mengajar dan pertukaran Latihan Industri, pertukaran kakitangan akademik dan penyelidikan bersama,” ujar beliau.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Linyi, Prof. Zhang Shusheng berkata mesyuarat kerjasama ini diharap menjadi platform yang produktif kepada kedua-dua pihak untuk merangka strategi baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua universiti.

“Saya yakin melalui perkongsian ilmu ini dapat melahirkan graduan yang berkelayakan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menerusi majlis ini dilihat membuka beberapa peluang kerjasama yang boleh dicapai oleh UPSI dan Universiti Linyi antaranya penubuhan Pusat Pembelajaran bagi kedua-dua institusi, , program pertukaran pelajar dan kakitangan akademik serta program melibatkan penyelidikan dan penerbitan kajian.

Turut hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Prof Madya Dr. Ashardi Abas; CEO Pusat Perhubungan dan Rangkaian Industri (CiRNeT) UPM dan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Kenderaan Universiti Linyi, Ms. Hou Zongxiang