Sesi berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet.Sesi berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet.

Oleh: Nor Aisyah Munirah binti Hafizi

TANJONG MALIM, 23 MEI 2026 – Program “Bicara Ilmu Legasi Kepimpinan” telah berjaya dilaksanakan dengan kolaborasi antara Persatuan Bahasa Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jawatankuasa Pimpinan Kolej Kediaman (JPPK) UMK, Kampus Bachok.

Program ini mendapat sambutan daripada mahasiswa dan mahasiswi UPSI serta UMK yang dianjurkan oleh Exco Latihan dan Kepimpinan secara dalam talian melalui platform Google Meet.

Penganjuran program ini berasaskan keprihatinan terhadap sikap segelintir pelajar yang terlalu mengejar jawatan, pengaruh dan pengiktirafan dalam organisasi sehingga mengabaikan nilai amanah, integriti serta tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Program ini dianjurkan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan pemimpin mahasiswa bagi membincangkan realiti sebenar dunia kepimpinan organisasi di institusi pengajian tinggi.

Program ini juga memberi fokus terhadap pembentukan pemimpin yang bukan sahaja mampu memegang jawatan, malah berupaya meninggalkan impak serta legasi yang bermanfaat kepada mahasiswa dan organisasi.

Perbincangan yang dijalankan turut menyentuh pelbagai aspek seperti cabaran mengurus organisasi, menjaga kebajikan mahasiswa, membina hubungan diplomasi dengan pihak pengurusan universiti serta memastikan kesinambungan kepimpinan agar organisasi terus relevan walaupun berlaku pertukaran kepimpinan.

Selain itu, program ini juga mengupas isu semasa berkaitan “Sindrom Kejar Jawatan” dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan.

Isu ini berlaku apabila segelintir mahasiswa lebih mengejar jawatan demi populariti, pengaruh atau pengisian resume tanpa memberikan komitmen dan impak sebenar kepada organisasi serta mahasiswa bawahan.

Oleh itu, program ini bertujuan mengubah persepsi pelajar supaya memahami bahawa kepimpinan bukan sekadar gelaran, tetapi satu amanah dan tanggungjawab dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat kampus.

Para panel turut berkongsi pandangan tentang kepentingan membina legasi kepimpinan melalui nilai intergriti, komunikasi berkesan, kebajikan mahasiswa dan semangat kerja berpasukan.

Sesi perkongsian berkaitan topik kepimpinan bersama panel jemputan.

Penganjuran program ini memberikan impak positif kepada mahasiswa kerana mampu meningkatkan kesedaran tentang pentingnya budaya ilmu dan kepimpinan berkualiti dalam kehidupan kampus.

Program ini juga dapat melahirkan mahasiswa yang lebih matang, berani bersuara, mempunyai pemikiran kritik serta mampu memimpin organisasi dengan lebih profesional dan berintegriti.

Di samping itu, perkongsian ilmu dan pengalaman daripada panel jemputan dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk menjadi pemimpin yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah mampu meninggalkan legasi dan impak yang bermanfaat kepada masyarakat serta negara pada masa hadapan.