Oleh: Muhammad Zul’ Ashryn

TANJONG MALIM, 22 Mei – Persatuan Komunikasi (PERKOM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganugerahkan satu anjakan paradigma dalam landskap kebudayaan kampus melalui penganjuran program gilang-gemilang, Intercultural Night 2026. Bertemakan slogan keramat “Unity in Diversity”, program akademik dan kebudayaan ini telah membanjiri Dewan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) pada malam semalam dengan rona-rona tradisi yang memukau minda penonton.

Program yang berlangsung pada 21 Mei 2026 dari jam 8:00 malam sehingga 11:00 malam ini bukan sekadar sebuah acara hiburan santai, malah bertindak sebagai sebuah wacana integrasi sosial yang mengumpulkan ratusan mahasiswa pelbagai latar belakang etnik dan antarabangsa. Kehadiran delegasi dalam busana tradisional masing-masing menepati aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai hormat dan ihsan dalam kepelbagaian demografi pascamodern.

Sebagai sebuah entiti yang mengakar tunjang dalam bidang komunikasi, PERKOM dilihat bijak memanfaatkan elemen komunikasi silang budaya secara praktikal melalui persembahan teaterikal, tarian dan muzik tradisional. Struktur naratif malam tersebut disusun rapi bagi

menterjemahkan bagaimana kepelbagaian budaya mampu menjadi jambatan keharmonian, bukannya benteng pemisah.

Daripada lenggok tarian Melayu klasik, keunikan gerak tari komuniti Cina dan India, sehinggalah kepada estetika persembahan etnik Sabah, Sarawak, serta seni budaya antarabangsa, semuanya diadun membentuk satu simfoni visual yang dinamik. Mahasiswa yang hadir bukan sahaja disajikan dengan estetika persembahan, malah didedahkan dengan pemahaman mendalam tentang semiotik dan pemaknaan di sebalik setiap busana dan gerakan yang dipamerkan.

“Penganjuran Intercultural Night 2026 oleh PERKOM ini membuktikan bahawa mahasiswa UPSI bukan sahaja cemerlang dari sudut teoretikal akademik, malah mempunyai kecerdasan budaya yang tinggi untuk memimpin masyarakat majmuk di luar sana nanti,” ujar salah seorang tetamu yang hadir ke program tersebut.

Program berskala besar seumpama ini memberikan nilai tambah yang signifikan, khususnya dalam mengasah kemahiran insani seperti pengurusan acara, komunikasi strategik dan penyelesaian masalah secara kolaboratif. Sinergi yang ditunjukkan antara jawatankuasa pelaksana PERKOM dengan badan-badan kolaborasi luar mencerminkan kematangan mahasiswa dalam mengemudikan organisasi.

Dewan KHAR yang gamat dengan sorokan penonton menjadi saksi bahawa pengurusan acara berimpak tinggi ini berjaya mencapai objektif utamanya iaitu merapatkan jurang polarisasi kaum di peringkat institusi pengajian tinggi serta membina jati diri mahasiswa yang holistik, dinamik dan peka terhadap warisan peradaban global.

Keberhasilan Intercultural Night 2026 ini dijangka bakal menjadi penanda aras baharu bagi program-program kebudayaan akan datang di Universiti No. 1 Pendidikan ini. Syabas diucapkan kepada Persatuan Komunikasi PERKOM atas inisiatif murni yang berjaya menghidupkan roh perpaduan melalui platform seni dan komunikasi.