Oleh: Dr. Siti Nursaila Alias, Dr. Anis Nazihah Mat Daud & Dr. Anis Diyana Halim

Tanjong Malim: Topik Fizik Kuantum telah mula diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Fizik Tingkatan Lima sejak tahun 2019. Topik ini diperkenalkan sebagai pengenalan kepada Fizik Moden kepada murid-murid di peringkat sekolah menengah. Perubahan yang berlaku memerlukan guru Fizik untuk memahami dengan lebih mendalam konsep Fizik Kuantum dan menyesuaikannya dalam kaedah pengajaran mereka.

Oleh itu, Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Bengkel Mesra Fizik 1.0 yang bertemakan Fizik Kuantum untuk guru Fizik di seluruh Malaysia. Bengkel ini dilaksanakan secara dalam talian melalui 3 siri yang diadakan pada 5 Julai, 12 Julai dan 19 Julai. Setiap siri membincangkan subtopik yang berbeza, iaitu teori kuantum cahaya, kesan fotoelektrik dan teori fotoelektrik Einstein. Bengkel ini dijayakan oleh tujuh orang pensyarah dari Jabatan Fizik yang menjadi panel dan jawatankuasa bagi bengkel ini.

Seramai 61 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru Fizik dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menyertai bengkel ini. Pendekatan pengajaran secara santai daripada pensyarah Jabatan Fizik mampu membantu peserta menguasai dan menyampaikan konsep-konsep yang sukar dalam cara yang lebih mudah dan menyeronokkan. Selain itu, dengan suasana yang santai dan kolaboratif, peserta dapat merasa lebih nyaman untuk bertanya dan berbincang tentang topik-topik yang kompleks tanpa rasa takut akan kesalahan. Hal ini dapat meningkatkan rasa percaya diri peserta dalam memahami Fizik Kuantum.

Bengkel ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperluas jaringan kerjasama antara UPSI dan guru-guru fizik di seluruh Malaysia. Dengan interaksi yang terjalin, guru-guru dapat bertukar idea, berkongsi sumber pengajaran dan membina komuniti yang saling menyokong dalam usaha meningkatkan pendidikan fizik. Jaringan ini berpotensi untuk menghasilkan kolaborasi berterusan dalam penyelidikan dan pengembangan kurikulum, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pelajar dalam pembelajaran mereka.

Pelbagai respon positif yang diterima dari peserta yang terlibat . Peserta juga berpuas hati kerana para panel berjaya memberikan kefahaman yang mendalam terhadap maklumat yang disampaikan di dalam Buku Teks Fizik Tingkatan 5. Selain itu, kekeliruan terhadap soalan-soalan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengenai Fizik Kuantum juga berjaya dirungkaikan oleh para panel yang terlibat.

Maklum balas positif dari para peserta menunjukkan bengkel yang diadakan ini berjaya mencapai objektif yang diharapkan. Selain itu, ianya juga memberi petunjuk bengkel ini wajar diadakan lagi pada masa akan datang bagi membantu guru-guru Fizik di Malaysia mengukuhkan pengetahuan kandungan ilmu Fizik.