Oleh: Nor Hayati Aziz
KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuhkan pengurusan bakat dan aktiviti pelajar, satu lawatan penanda aras telah diadakan ke tiga universiti terkemuka di Malaysia, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi amalan serta pendekatan pengurusan bakat dalam pelaksanaan aktiviti pelajar dan pemimpin pelajar di ketiga-tiga universiti tersebut.
Universiti Malaya (UM) mengamalkan pendekatan berpusatkan pelajar dalam pengurusan aktiviti.
Pelajar diberi tanggungjawab dan autonomi untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program dan acara mengikut keperluan dan kreativiti mereka.
Aktiviti-aktiviti pelajar di UM meliputi tiga cakupan penting iaitu Komuniti, Antarabangsa, dan Industri (CII).
Program-program seperti seminar, bengkel, pertandingan, dan festival diadakan dari peringkat universiti hingga ke kebangsaan dengan tujuan meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan masa pelajar.
Dari segi motivasi, UM menggunakan pendekatan intrinsik dan ekstrinsik dengan menyediakan pelbagai insentif seperti anugerah dan pengiktirafan untuk pencapaian pelajar.
Sesi kaunseling dan bimbingan juga diadakan untuk membantu pelajar menetapkan dan mencapai matlamat mereka.
Budaya persaingan yang sihat di kalangan pimpinan kediaman, persatuan, dan organisasi pelajar turut menyumbang kepada pembinaan jaringan yang kukuh dalam kalangan pelajar dan pemimpin masyarakat.
UIAM menekankan kepimpinan berteraskan nilai-nilai Islam dalam pengurusan aktiviti pelajar melalui pendekatan Islamisasi Ilmu.
Aktiviti pelajar di UIAM dirancang dengan tujuan membentuk pemimpin yang sentiasa meletakkan Islam pada tempat tertinggi.
Program seperti ‘Leadership Camps’ dan ‘Islamic Leadership Training’ dijalankan untuk melatih pemimpin pelajar. Setiap aktiviti juga diintegrasikan dalam kurikulum melalui kursus wajib universiti. Untuk memotivasikan pelajar, UIAM memberi tumpuan kepada pembinaan karakter dan spiritual.
Sesi motivasi sering melibatkan penceramah jemputan yang berjaya dalam pelbagai bidang untuk berkongsi pengalaman dan nasihat, membantu pelajar membina diri mereka sebagai individu yang berjaya dan berintegriti.
USIM pula menggunakan model GIINA (Guidance, Inspiration, and Integration Approach) dalam pengurusan aktiviti pelajar.
Model ini menekankan bimbingan, inspirasi, dan integrasi dalam setiap aspek pengurusan aktiviti pelajar. Aktiviti di USIM dirancang untuk menggabungkan elemen akademik, kemahiran sosial, dan nilai-nilai Islam bagi membentuk pelajar yang holistik.
Pendekatan motivasi di USIM juga bersifat integratif, di mana pelajar didorong untuk mencapai kecemerlangan melalui sokongan moral dan spiritual. Program seperti ‘Inspirational Talks’ dan ‘Peer Mentoring’ merupakan antara usaha untuk memotivasikan pelajar.
Ketiga-tiga universiti ini mempunyai pendekatan yang berbeza dalam pengurusan aktiviti dan motivasi pelajar, namun kesemuanya berkongsi matlamat yang sama untuk membentuk pelajar yang berdaya saing dan berkepimpinan.
Model GIINA di USIM menunjukkan keberkesanan pendekatan integratif dalam menggabungkan bimbingan, inspirasi, dan integrasi, yang boleh dijadikan rujukan untuk penambahbaikan program di UPSI.
Melalui penanda aras ini, PUA berusaha untuk meningkatkan pengurusan aktiviti dan motivasi pelajar dengan mengadopsi amalan terbaik.
Program-program ini tidak hanya memperkukuh kemahiran pengurusan pelajar tetapi juga membangunkan kepimpinan yang berkesan dalam kalangan mereka, yang penting bagi masa depan pendidikan tinggi di Malaysia.