Bagan Datuk, 25 Julai- Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya mengambil pendekatan melaksanakan program khidmat komuniti melalui sumbangan al-Quran dan lampu solar kepada komuniti di Bagan Datuk, Perak.
Sebanyak 70 naskhah al-Quran dan 5 unit lampu solar telah diserahkan oleh Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah kepada komuniti melalui Penghulu Mukim Bagan Datuk, Megat Muhamad Amin Mohd Azhar.
Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata 70 naskhah al-Quran yang disumbangkan ini diserahkan kepada masjid dan surau yang memerlukan di sekitar Bagan Datuk iaitu Masjid Tuminah Hamidi, Masjid Al-Qura, Masjid Sungai Nipah Baroh, Surau Baitul Rahman Rumah Awam dan Surau Pasang Api, manakala lampu solar diserahkan di Beting Beras Basah, Kampung Sungai Betul.
“Program khidmat komuniti yang mengintegrasikan sumbangan al-Quran dan lampu solar ini bukan hanya sekadar inisiatif amal, tetapi strategi untuk membawa impak yang berkekalan kepada komuniti yang menerimanya dalam menggalakkan kelestarian dan pertumbuhan positif dalam masyarakat”, ujarnya.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, inisiatif sumbangan al-Quran dan lampu solar kepada komuniti merupakan langkah proaktif untuk memperbaiki kualiti hidup, meningkatkan kesedaran agama dan menyokong kelestarian alam sekitar.
“UPSI sentiasa mengalu-alukan pelbagai bentuk kerjasama dengan komuniti luar sebagai universiti yang tidak hanya bertindak sebagai pusat pendidikan tetapi juga sebagai penggerak komuniti dalam meningkatkan pembangunan sosial, ekonomi dan kebudayaan masyarakat secara berterusan”, tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Megat Muhamad Amin Mohd Azhar turut berbesar hati dengan sumbangan yang diyakini mampu memberi faedah besar khususnya kepada komuniti di Bagan Datuk ini bagi memperkukuhkan aspek kerohanian dan keselamatan komuniti setempat dan berharap dapat menjalinkan kerjasama bersama UPSI dalam program komuniti yang berimpak tinggi di masa akan datang.