Tanjong Malim, 27 Julai 2024 – Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan daripada pengurusan tertinggi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) seramai 10 orang bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, FPM. Kunjungan ini diketuai oleh Presiden KGGMB, Juhari Mohamad Nor serta wakil pengurusan KGGMB dari setiap negeri di Malaysia.

Delegasi KGGMB disambut oleh Dekan FPM, Prof. Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim, Timbalan Dekan Jaringan dan Pengkomersialan FPM, Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi, Chief of Education (CoE) Sekolah Seri Budiman, Dr Kama Shaffeei, Penyelaras Sarjana Pendidikan Sekolah Rendah, Dr Mazarul Hasan Mohammad Hanapi serta kakitangan FPM UPSI.

Menurut Prof. Madya Dr Abdul Talib, pelbagai aktiviti boleh dirancang dan dilaksanakan bersama pihak KGGMB seperti melanjutkan pengajian di peringkat master, PhD dan latihan-latihan profesional.

“Melalui kerjasama ini juga, ia dapat membangunkan pusat pembelajaran luar serta seminar antara dua pihak yang memberi manfaat kepada kedua-duanya. Selain itu, persatuan ini juga mempunyai ahli sedia ada seramai 50,000 orang dalam kalangan guru melayu di Malaysia,” katanya.

Rentetan daripada perbincangan terdahulu berkaitan inisiatif kolaborasi strategik dalam bidang pendidikan ini dapat dijadikan sebagai tanda komitmen kedua-dua pihak untuk melaksana inisiatif yang telah dicadangkan. Semoga inisiatif ini akan membawa kepada manfaat berpanjangan kepada kedua-dua institusi.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)