Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) telah menganjurkan pertandingan Debat Piala Rakan Muda 2024 (DPRM 2024). Pertandingan yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan itu turut melibatkan Sekretariat Rakan Muda UPSI (SRM UPSI) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan pengelola.
Tema bagi penganjuran sulung ini “Mendepani Cabaran Belia Madani” menekankan konsep pembangunan belia di Malaysia. Ianya dipilih sesuai dengan usaha memartabatkan belia ke arah pemikiran kritis bagi melahirkan belia yang sedar akan kebertanggungjawaban mereka dalam membangun sebuah negara maju dengan pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi.
Pertandingan ini telah berlangsung pada 11-13 Ogos yang lalu. Pusingan awal hingga separuh akhir telah dijalankan di Kompleks Akademik, UPSI manakala pusingan akhir beserta majlis penutupan berlangsung di Panggung Percubaan, UPSI.
Dalam pusingan akhir, pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan berjaya menarik minat panel hakim untuk dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Piala Rakan Muda 2024 dengan usul “Penguasaan Bahasa Melayu dalam Kalangan Belia adalah Menyedihkan”, mengetepikan cabaran pendebat Universiti Malaysia Kelantan (UMK), sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,500.00 beserta trofi dan piala pusingan.
Dua pendebat UIAM, Nurin Zayani dan Muhammad Arif Hakimi turut menerima Anugerah Pendebat Terbaik pusingan akhir dan Anugerah Pendebat Terbaik keseluruhan. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300.00 beserta trofi.
Puan Nur Hashiqin, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan dalam ucapannya merasmikan pertandingan itu turut berpuas hati dengan penganjuran pertandingan tersebut dan ianya sangat bertepatan dengan matlamat Kementerian Belia dan Sukan dalam keterlibatan belia membangun bersama Malaysia melalui kepelbagaian aktiviti yang bukan sahaja menjurus kepada program sukan, katanya.
Belia juga seharusnya meneroka sisi lain yang mampu meningkatkan prestasi dan masa depan mereka dalam pelbagai bidang dan kemahiran yang mereka miliki. Program seperti ini seharusnya menjadi acara tahunan dengan lebih banyak tema yang perlu diketengahkan demi pembangunan belia di Malaysia, tambahnya lagi.
Dengan bantuan dana dari Kementerian Belia dan Sukan sebanyak RM20,000.00, antara jumlah terbesar sokongan kementerian kepada Kolej Ungku Omar, UPSI dan Sekretariat Rakan Muda UPSI dalam menjayakan pertandingan ini.
Sejumlah RM7,100.00 hadiah wang tunai terkumpul telah berjaya diterima oleh pasukan yang berjaya termasuklah pasukan debat Universiti Malaysia Kelantan selaku Naib Johan yang menerima wang tunai RM1,500.00, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat di tempat ketiga dan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di tempat keempat masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.00.
Prof. Madya Dr. Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar sangat berbangga dan berasa teruja dengan penganjuran program ini apatah lagi diuruskan oleh mahasiswanya saudara Mohd Lutfi Radzi selaku Pengarah Program dengan bimbingan Encik Safwan Sarifbudin selaku felo penasihat. Walaupun pertama kali dianjurkan ianya mendapat sambutan daripada rakan universiti awam dan swasta seluruh negara, katanya.
Hadir sama pada majlis penutupan pertandingan itu ialah Tuan Mohd Halifi, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Dr. Azizul Hj. Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Madya Dr. Ghazali Din, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI serta Encik Muzamil Mahil, Penasihat Sekretariat Rakan Muda UPSI.