Oleh: Dr. Shakila Che Dahalan dan Dr. Kama Shaffeei

Tanjung Malim, 14 Ogos 2024 – Seramai 28 murid dari Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) telah berpeluang menyertai program Hands-On Virtual Reality and Robotic for Kids yang diadakan di Bilik Simulasi CPRI, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini merupakan hasil kerjasama erat antara pihak NICE, UHSB, pihak industri G Plus Tech Sdn Bhd, dan CPRI.

Program inovatif ini memberi pendedahan awal kepada murid-murid SRSB mengenai penggunaan teknologi canggih seperti Virtual Reality (VR) dalam pembelajaran. Selain itu, mereka juga didedahkan kepada penggunaan Robotik yang berfungsi untuk merangsang pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan murid.

Menurut Dr. Nurliza Md Azam, CEO G Plus Tech Sdn Bhd mereka menyambut baik usaha institusi pendidikan dalam mendedahkan teknologi VR kepada murid di peringkat awal bagi memanfaatkan penggunaan teknologi VR dalam pendidikan. Pendekatan Neoterik yang diterapkan dalam program ini telah menunjukkan impak positif terhadap murid-murid.  “Pendekatan Neoterik yang diberikan kepada murid sesuatu yang bagus untuk dicontohi oleh sekolah-sekolah lain. Murid-murid aktif mengutarakan pendapat dan terlibat secara langsung dalam sesi pengenalan robotik. Mereka juga menunjukkan penguasaan kemahiran berbahasa Melayu dan Inggeris yang baik,” kata beliau.

Program ini turut dihadiri oleh tiga orang guru dari SRSB serta beberapa staf daripada NICE dan UPSI Holding Sdn Bhd. Komitmen tinggi semua pihak telah memastikan kejayaan program ini, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada murid-murid tetapi juga kepada guru-guru yang hadir.

Latihan ini selaras dengan Visi dan Misi SRSB untuk melahirkan generasi kalis masa depan dalam menguasai kemahiran VR, Ai dan ledakan teknologi masa depan.  Usaha ini menunjukkan kesungguhan UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan, di mana murid-murid SRSB dididik untuk menjadi murid yang berdaya saing dan berfikiran kritis.

Pendedahan awal kepada teknologi VR dan Robotik diharap dapat menjadi asas yang kukuh untuk murid-murid SRSB terus maju dalam dunia pendidikan yang semakin berteraskan teknologi. Program seumpama ini dijangka akan diteruskan secara berterusan pada masa akan datang bagi memastikan murid-murid terus mendapat pendedahan dan pengalaman yang relevan dengan perkembangan teknologi terkini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)