Oleh: Ahmad Muizzuddin Safian
Kota Bharu, 27 Ogos 2024 – Institut Pendidikan Siswazah (IPS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan lawatan rasmi ke Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKKB) bagi mewujudkan Pusat Pembelajaran program Pesisir di Kelantan yang terbaru.
Turut diadakan pameran bas pendidikan yang bertujuan untuk mempromosikan program pascasiswazah yang ditawarkan di UPSI.
Dalam sesi pertemuan yang diadakan, pihak IPS telah mengemukakan hasrat untuk menjadikan IPGKKB menjadi pusat pembelajaran yang berfokus pada penyediaan pendidikan berkualiti.
Langkah ini diharapkan dapat memperkukuh kedudukan UPSI sebagai pusat kecemerlangan dalam pendidikan dan menawarkan lebih banyak peluang pendidikan kepada pelajar di pantai timur.
Selain itu, pameran bas pendidikan yang diadakan juga menarik perhatian ramai dengan mempromosikan pelbagai program pascasiswazah yang ditawarkan.
Pameran ini bertujuan untuk memberi maklumat lengkap mengenai pilihan pengajian lanjut serta manfaat yang boleh diperoleh oleh para pelajar melalui program-program tersebut.
Bas pendidikan tersebut dilengkapi dengan paparan interaktif dan maklumat yang memudahkan pengunjung memahami tawaran dan kelebihan setiap program yang disediakan.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Penerbitan, IPS, Profesor. Madya. Dr. Zulezwan Ab Malik dalam ucapannya menyifatkan dengan kewujudan IPGKKB sebagai Pusat Pembelajaran akan dapat memperluas capaian pendidikan tinggi di Kelantan khususnya dan memberikan impak positif kepada masyarakat tempatan.
“Pameran ini juga adalah satu platform penting untuk kami berinteraksi langsung dengan bakal pelajar dan memberi pencerahan tentang peluang pendidikan yang ada,” ujar beliau.
Program tersebut turut dihadiri oleh para pegawai, pensyarah dan pelajar yang menunjukkan minat terhadap peluang pendidikan yang ditawarkan.
Pihak IPS UPSI berharap langkah ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi pengembangan pendidikan di pantai timur dan seterusnya memperkukuh hubungan antara UPSI dan komuniti pendidikan di seluruh negara.