Oleh: Nally Aleeya Ahmad Nasir dan Nur Amalina Natasya Saiful Azmi

Tanjong Malim, 24 – 25 Ogos 2024 – Kelab Keusahawanan UPSI dengan kerjasama Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI menganjurkan Kem Kecemerlangan: Membina Pemimpin Usahawan 1.0 bertempat di UPSI Adventure Park (UAP).

Kem yang julung kali diadakan ini melibatkan seramai 72 orang Ahli Kelab Keusahawanan yang terdiri daripada Pelajar Diploma Keusahawanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

Kem  ini bertujuan merapatkan hubungan antara ahli kelab  dan membina sifat kepimpinan dalam diri ahli kelab disamping membentuk jati diri dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan ahli.

Melalui kem ini, pelajar dapat mempelajari tentang kepentingan komunikasi dengan masyarakat dan mempunyai sifat tanggungjawab atas setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh mereka.

Selain itu, pelajar dapat memupuk sifat berdikari dalam diri serta memantapkan disiplin dalam interaksi dan perbuatan mengikut tentatif yang padat dengan pengisian yang sesuai untuk perkembangan pelajar.

Kem ini memfokuskan dalam usaha mengasah kemahiran kepimpinan pelajar dalam menyelesaikan masalah aktiviti yang disediakan supaya dapat membina keyakinan diri dalam diri pelajar.

Kem yang berlangsung selama dua hari satu malam ini  turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Dr. Khalizul Khalid.

Kehadiran beliau sebagai penceramah sepanjang kem ini telah menyuntik semangat keusahawanan dalam diri para pelajar.