oleh: Aida Najwa Zahidan dan Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Bagan Datuk, 14 Ogos 2024 – Pusat Kaunseling UPSI menghadiri Mini Karnival Sejarah Daerah Bagan Datuk bertempat di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan.
Program ini bertujuan meningkatkan semangat dan minta murid dalam subjek sejarah supaya lebih fokus dan memahami isi kandungan yang dipelajari.
Pusat Kaunseling UPSI bukan sahaja memeriahkan, malah melengkapi program dengan pameran berkaitan kesihatan mental kepada peserta yang menyertai program ini.
Kesedaran berkaitan kesihatan mental amat penting terutama dalam kalangan murid sekolah supaya langkah pencegahan atau rawatan dapat diberikan sekiranya mempunyai tanda – tanda kesihatan mental.
Mental yang sihat dan cerdas juga dapat membantu murid – murid untuk fokus dan memberikan tumpuan yang penuh terhadap aktiviti yang mereka sertai.
Menurut Pegawai Psikologi Klinikal UPSI, En Fakhruddin Faris Nazri, kesihatan mental mampu mempengaruhi daya pemahaman murid serta cara mereka berfikir. Oleh itu, pameran ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta tentang kesihatan mental, malah memberi pengetahuan dan tips bagaimana untuk menjaga mental dengan baik.
Pelbagai aktiviti juga turut diadakan selain daripada pameran berkaitan kesihatan mental. Permainan yang menguji minda turut dilaksanakan bagi mengisi masa peserta yang mengunjungi reruai pameran yang disediakan oleh Pusat Kaunseling.
Permainan yang dilaksanakan kebanyakannya menguji minda serta melihat gaya kreativiti mereka dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Aktiviti santai yang disediakan ini memberikan pengalaman baru kepada mereka dan dalam masa yang sama merangsang daya pemikiran mereka.
Bukan itu sahaja, bas pameran berkaitan ‘Jom Masuk Universiti’ turut dilaksanakan oleh Pusat Kaunseling.
Pendedahan seperti ini sangat wajar untuk dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada peserta berkaitan perjalanan yang bakal mereka tempuhi setelah selesai zaman persekolahan.
Pameran berkaitan 20 buah Universiti Awam di Malaysia telah dilaksanakan dan mendapat sambutan yang sangat memberansangkan bukan sahaja melibatkan murid sekolah malah guru.
Perasmi majlis, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid turut berkesempatan melawat bas pameran yang telah disediakan oleh Pusat Kaunseling UPSI.
Menurut beliau, pameran seperti ini sangat menarik dan penuh dengan infomatif kepada para peserta. Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memberi pendedahan bukan sahaja kepada murid sekolah, malah turut melibatkan komuniti setempat.