Oleh: Aida Najwa Zahidan dan Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Sungkai– Jelajah Counselor On Wheel kini tiba di SMK Felda Besout, Perak. Siri pada kali ini sedikit berbeza daripada siri – siri yang sebelumnya.
Pada jelajah kali ini, fokus yang diberikan keutamaan bukan sahaja melibatkan berkenaan penjagaan mental, malah turut melibatkan pendedahan kepentingan memiliki ciri kepimpinan yang unggul dalam diri para peserta.
Peserta yang terdiri dalam kalangan murid tingkatan 1 hingga 5 melibatkan mereka yang menjawat jawatan sebagai pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, rakan koperasi dan juga ketua dan penolong bilik darjah. Penyertaan seramai hampir 150 orang mendapat maklum balas yang baik dan positif.
Selaku murid yang diberikan tanggungjawab yang lebih khusus berbanding rakan – rakan lain, sikap serta bagaimana mereka mempamerkan perwatakan diri mereka amat penting.
Sebagai seorang pemimpin, mereka harus lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menjalankan tugas yang diberikan.
Oleh yang demikian, penerapan nilai yang baik harus diterapkan dalam diri mereka sejak diusia remaja lagi. Melalui program – program yang dijalankan seperti ini, mereka akan lebih terdedah dengan perkara yang kurang ditekankan dalam bilik darjah.
Diharapkan agar program berbentuk pembangunan nilai modal insan seperti ini dapat terus dijalankan dalam melahirkan murid yang bukan sahaja bijak dalam akademik, malah turut memiliki akhlak yang terpuji serta bertanggungjawab dalam segala perkara yang mereka sertai.
Sebagai murid, mereka tidak seharusnya hanya fokus kepada satu bidang intelek sahaja, malah perlu seimbang dalam semua aspek lain seperti rohani, jasmani, dan emosi.