Oleh: Ayu Farhana Muhamad Nuri, MPP UPSI sidang 2023/2024
Tanjong Malim, 28 Ogos 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi 2023/2024 telah meneruskan inisiatif MPP Culina Madani yang diperkenalkan sejak tahun lalu.
Inisiatif ini bertujuan membantu mahasiswa terutama golongan B40 melalui sumbangan makanan yang akan dilaksanakan dalam empat siri hasil kerjasama erat antara Pusat Islam dan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) Kolej Awang Had Salleh (KAHS).
MPP Culina Madani bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan mahasiswa, tetapi juga sebagai tanda keprihatinan MPP terhadap kesejahteraan mahasiswa di UPSI.
Melalui edaran makanan percuma ini, diharapkan mahasiswa dapat lebih fokus terhadap pelajaran tanpa dibebani oleh masalah dan kekangan kewangan.
Oleh itu, siri pertama MPP Culina Madani berjaya dijalankan pada 28 Ogos 2024 (Rabu) yang lalu, di mana sebanyak 250 pek makanan telah diedarkan kepada mahasiswa UPSI khususnya mahasiswa diploma yang berada di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Sambutan daripada mahasiswa UPSI adalah sangat memberangsangkan, dan ini membuktikan bahawa program sebegini sangat diperlukan untuk membantu mereka yang memerlukan.
MPP turut terharu dengan penglibatan dan komitmen sukarelawan yang telah menjayakan siri pertama program ini. Para sukarelawan yang terdiri dalam kalangan mahasiswa UPSI telah menunjukkan semangat kesukarelawanan dan kerjasama yang tinggi.
Mereka bukan sahaja membantu dari segi pengedaran makanan, tetapi juga menyumbang masa dan tenaga untuk memastikan kelancaran program.
Dalam setiap siri yang akan datang, MPP Culina Madani akan terus berusaha untuk memastikan lebih ramai mahasiswa mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
Kami juga mengharapkan agar lebih ramai pihak dapat tampil membantu atau menyumbang kepada program ini, sama ada dalam bentuk makanan, kewangan, atau tenaga kerja sukarela.
MPP komited untuk terus memperkasa kebajikan pelajar dan memastikan tiada pelajar yang terpinggir. Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak, kita yakin MPP Culina akan terus mencapai matlamatnya untuk menjadi satu inisiatif yang memberi impak positif kepada kehidupan mahasiswa di UPSI.