Oleh : Norazlina Khairuddin (Pengurus TASKA TADIKA NCDRC)

Tanjong Malim, 25 Ogos 2024- Mesyuarat Modul dan Pengurusan Program Cuti Sekolah Tadika Bitara NCDRC (National Child Development Research Centre) bagi tahun 2024 berjaya dilangsungkan selama tiga hari dua malam iaitu pada 23 hingga 25 Ogos 2024.

Mesyuarat ini diadakan di The Pearl Hotel Kuala Lumpur dan disertai oleh pengurusan NCDRC, pendidik, pembantu pengurusan murid dan juga pensyarah-pensyarah serta pelajar dari Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI (FSSKJ).

Mesyuarat tersebut bertujuan untuk menyusun modul-modul pembelajaran dan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan semasa program cuti sekolah pada tahun 2025.

Selain itu, sesi ini turut memberi fokus kepada perbincangan mengenai pengurusan logistik dan pelaksanaan program dengan lebih terperinci.

Menurut Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi NCDRC), Profesor Madya Dr. Norazilawati Abdullah, mesyuarat ini sangat penting dalam memastikan setiap modul yang akan dilaksanakan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan dan relevan dengan keperluan semasa dalam perkembangan kanak-kanak.

Selama tiga hari, mesyuarat telah berbincang dan meneliti pelbagai aspek penting yang meliputi penyusunan modul perkhemahan, modul masakan, modul air, modul survival dan modul fizikal.

Ahli mesyuarat juga diberikan ruang untuk berkongsi pandangan dan cadangan bagi memastikan modul yang disediakan relevan dan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak.

Mesyuarat selama tiga hari dua malam ini telah berjalan dengan lancar, dan semua ahli mesyuarat pulang dengan rasa optimis terhadap pelaksanaan Program Cuti Sekolah Tadika Bitara NCDRC 2025.

Dengan persiapan yang rapi dan komitmen daripada semua pihak, program ini dijangka akan memberi impak positif yang besar kepada perkembangan kanak-kanak.