Oleh: Dr. Mohd Hishamuddin Abdul Rahman
China, 12-16 Ogos 2024 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini mengadakan lawatan akademik ke beberapa universiti dan industri di China, iaitu Guangdong Information Engineering Institute dan AVA Electronic Technology Co., Ltd. di Guangzhou, serta Nanjing Vocational University of Industry Technology di Nanjing.
Lawatan ini diadakan bagi mewujudkan hubungan kerjasama antara UPSI dan ketiga-tiga agensi tersebut melalui penandatanganan Surat Niat (LoI) serta perbincangan dua hala mengenai beberapa aspek, termasuk perkongsian kepakaran dan teknologi dalam pendidikan, serta merangka program-program bersama antara UPSI dan agensi-agensi berkenaan.
Selain itu, lawatan ini juga bertujuan mempromosikan program-program pengajian UPSI, khususnya program pascasiswazah dan pesisir.
Dr. Mohd Hishamuddin Abdul Rahman, Ketua Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital FKMT, selaku ketua lawatan berkata kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh jaringan kolaborasi antara UPSI dengan Guangdong Information Engineering Institute dan AVA Electronic Technology Co., Ltd. di Guangzhou, serta Nanjing Vocational University of Industry Technology di Nanjing. Tidak dinafikan bahawa China adalah antara negara yang menjadi pelopor kepada teknologi-teknologi terkini, khususnya dalam bidang pendidikan. Oleh itu, banyak perkara yang boleh kita pelajari dan adaptasi daripada mereka.
Tambah beliau, China juga merupakan pasaran yang besar bagi UPSI untuk mendapatkan calon-calon pelajar, terutamanya di peringkat pascasiswazah, sebagai sumber penjanaan universiti. Justeru promosi secara besar-besaran harus dilakukan di negara tersebut.
Selain itu, peserta lawatan turut dibawa untuk meninjau makmal, studio, dan kawasan sekitar universiti dan industri.
Majlis menandatangani LOI ini juga turut dihadiri oleh pihak pengurusan dan staf daripada Guangdong Information Engineering Institute, AVA Electronic Technology Co., Ltd. dan Nanjing Vocational University of Industry Technology.