Oleh: Mohamad Asri Seman & Netelie Nuil
Yogyakarta, 23 Ogos 2024 – Dalam usaha memperkukuh hubungan pendidikan dan budaya antara Malaysia dan Indonesia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMB Yogyakarta) menganjurkan satu program pertukaran budaya dari kedua-dua buah negara.
Program yang berlangsung dua hari ini, mengetengahkan satu sudut pandangan tentang perbezaan dan persamaan budaya masing-masing.
Program pertukaran budaya ini adalah inisiatif awal yang dijalankan bagi menjalin hubungan kerjasama antara UPSI melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan pihak UMBY dimasa akan datang.
Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai aktiviti dijalankan seperti bengkel kesenian, sesi dialog dan lawatan kebudayaan.
Peserta dari kedua-dua universiti ini berpeluang mengenali dan memahami tradisi, adat serta nilai budaya yang berbeza antara Malaysia dan Indonesia.
Pelajar UPSI, sebagai contoh, diberi peluang untuk mempelajari cara untuk bermain alat gamelan dan mengetahui kepelbagaian tarian di Indonesia sementara pelajar UMB Yogyakarta dapat mengenal budaya Malaysia seperi tarian dan alat muzik yang ada di Malaysia.
Selain itu, mahasiswa UPSI-UMBY turut membuat lawatan kebudayaan dengan melawat kawasan-kawasan yang banyak memberikan kesan budaya di Yogyakarta seperti Chandi Borobudur.
Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob menyatakan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan budaya, tetapi juga untuk memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua universiti.
“Melalui program ini, kami berharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, dan kolaborasi dalam projek-projek yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Di samping itu, hubungan sosial antara mahasiswa juga semakin erat melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Pelajar dari kedua-dua negara dilihat bertukar-tukar pendapat mengenai isu-isu semasa, berkongsi pengalaman hidup dan mempererat tali persahabatan, tambah beliau.
Kejayaan program persilangan budaya ini membuka jalan kepada lebih banyak kerjasama antara UPSI dan UMB Yogyakarta pada masa hadapan.
Wakil kedua-dua universiti telah menyatakan hasrat untuk mengembangkan program ini ke dalam bentuk yang lebih meluas, seperti penganjuran seminar antarabangsa, penerbitan bersama dalam jurnal akademik dan pertukaran tenaga pengajar.
Ketua Program Pertukaran UMB Yogyakarta, Dr. Endah Wulandari berkata pertukaran budaya ini adalah satu permulaan yang baik dalam usaha kami untuk menghubungkan pelajar dan akademik dari pelbagai latar belakang.
“Ia bukan sahaja meningkatkan kefahaman budaya, tetapi juga menyumbang kepada pembentukan jaringan akademik yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.
Kesimpulannya, persilangan budaya antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta ini merupakan satu langkah positif dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, sambil memupuk rasa hormat dan kefahaman yang lebih mendalam terhadap kepelbagaian budaya serantau.
Program seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, tetapi juga menyumbang kepada usaha globalisasi pendidikan di peringkat serantau.