Oleh: Nik Mohammad Haiqal Bin Nik Ab Razak

28 Ogos, Tanjong Malim – Pada tanggal 28 Ogos 2024 (Rabu), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) dengan kerjasama Iverson Associates telah memberi pendedahan kepada pelajar A2813 Diploma Sains Komputer (Komputeran Internet) dan A2160 Diploma Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan tentang penggunaan platform Amazon Web Services (AWS) dan kelebihannya berbanding perisian ‘cloud computing’ yang lain.

Seramai 113 orang mahasiswa/i Diploma FKMT telah menghadiri bengkel pengenalan kepada AWS ini yang telah dikelola oleh YBrs. Dr. Sumayyah binti Dzulkifly. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Dekan FKMT, YBrs. Prof Madya Dr. -Ing. Dr. Maizatul Hayati Binti Mohamad Yatim dan YBrs. Dr. Fadhil Harfiez Bin Abdul Mutttalib selaku penasihat Persatuan Sains Komputer (PSK).

Bengkel yang berjalan selama 8 jam itu memberikan impak yang sangat besar kepada para pelajar terutamanya dalam mengaplikasikan ilmu pangkalan data dan kegunaaan AWS dalam mengurus dan menyimpan data. Para pelajar juga diperkenalkan dengan pelbagai perisian AWS seperti AWS EC3, AWS S3, AMAZON DynamoDB dan seumpamanya. Setelah sesi pengajaran, para peserta juga didedahkan dengan permainan interaktif yang disediakan oleh pihak Iverson Associates.

Sesi Penerangan Tentang Perisian EC3 oleh Jurulatih daripada Iverson Associates.

Semasa bengkel, peserta juga sempat diperkenal dan merasai sendiri pengalaman menerokai ruang alam permainan yang dibangunkan dengan menggunakan perisian AWS bertajuk ‘Cloud Quest: Practitioner Essentionals’. Tidak cukup dengan info yang dikongsikan, pihak Iverson Associates juga telah memberikan cenderahati kepada semua pelajar sebagai tanda kenang-kenangan.

Bengkel bersasar seperti ini amat penting dan bermakna kerana berupaya mendedahkan peserta dengan Teknologi ICT terkini di samping membuka peluang untuk mereka menimba ilmu baharu demi mempersiapkan diri mereka untuk bergelar mahasiswa yang kompeten dan holistik.