Oleh: Dr Noor Hidayah Azmi

Tanjong Malim, 2 September 2024 – Seramai enam (6) orang pelajar program Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) dengan Kepujian dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) terpilih untuk menjalani latihan industri di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei bermula 2 September 2024.

Program latihan industri ini melibatkan mobiliti pelajar secara outbound selama 24 minggu. Program latihan industri merupakan syarat bagi setiap pelajar untuk melayakkan mereka dianugerahkan ijazah bagi program pengajian.

Dekan FKMT, Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohamad Yatim menekankan bahawa program latihan industri antarabangsa ini membolehkan pelajar mendapat pengalaman pekerjaan sebenar di peringkat global selain melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing.

Disamping itu, program seumpama ini turut menyumbang kepada KPI pengantarabangsaan FKMT melalui halatuju Meta Strategy, Internship Go Global.

Dari kiri, Dhazriana, Nurshafa Izaty, Asmaa Auni, En Rasyidi (pengiring), Michael Jr Jon, Nur Nadira Huda dan Elisaester Yasun

Menurut pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri (Pulami), Prof. Madya Dr Ashardi Abas, pihak UPSI telah memperuntukkan sebanyak RM15,800 untuk merealisasikan program ini.

Peruntukan yang disalurkan akan digunakan sepenuhnya bagi menanggung kos sara hidup, insuran, visa dan penyeliaan.

Menurutnya juga, program ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa sokongan daripada penyelaras latihan industri FKMT dan Pusat Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC).

Beliau juga berharap agar para pelajar dapat melaksanakan latihan industri dengan cemerlang dan membawa nama baik UPSI di peringkat antarabangsa.

Pensyarah FKMT, En Rasyidi Johan selaku turut membantu mengiringi pelajar yang ditempatkan di Pusat Teknologi Maklumat, UNISSA.

Menurut beliau penerimaan dari pihak organisasi luar negara telah membuktikan bahawa pelajar tempatan juga memiliki kebolehan yang luar biasa dan bersedia untuk bersaing secara global.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Nur Nadira Huda Hassan, menyifatkan peluang berkenaan sebagai sekali seumur hidup dan tidak akan mensia-siakan peluang berkenaan.

Pada masa hadapan, FKMT akan terus menjalinkan kerjasama dengan organisasi di pelbagai negara bagi memberikan lebih banyak peluang latihan industri antarabangsa terutamanya kepada pelajar ijazah tahun akhir.

Para pelajar juga akan diberikan sokongan dan bimbingan dalam proses permohonan dan persediaan untuk menjalani latihan industri di luar negara.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)