22 Ogos, Tanjong Malim – Persatuan Sains Komputer (PSK) Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) telah mengadakan majlis istimewa iaitu Majlis Apresiasi Persatuan Sains Komputer Sidang 2023/2024 pada hari Khamis, 22 Ogos 2023. Majlis ini melibatkan semua mahasiswa/i Diploma Sains Komputer semester 1 dan 4 yang turut dihadiri oleh penasihat persatuan iaitu YBrs. Dr. Mohd Fadhil Harfiez bin Abdul Muttalib atau lebih dikenali sebagai Dr. AJ. Tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk meraikan mantan Penasihat Persatuan Sains Komputer iaitu Dr. Sumayyah binti Dzulkifly atas jasa dan bimbingan beliau sejak tertubuhnya PSK pada bulan Januari 2024. Dr. Sumayyah juga merupakan antara tunjang utama yang bekerja keras untuk menubuhkan persatuan bagi Diploma Sains Komputer di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Yang Dipertua Persatuan Sains Komputer iaitu Sdr. Nik Mohammad Haiqal bin Nik Ab Razak. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada Dr. Sumayyah dan diikuti dengan ucapan daripada Dr. Mohd Fadhil Harfiez. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas jasa Dr. Sumayyah sepanjang menjadi penasihat  PSK dan turut mengingatkan semua pelajar untuk sentiasa menghargai sumbangan Dr. Sumayyah buat persatuan yang tercinta ini.

YBrs. Dr. Mohd Fadhil Harfiez dan YBrs. Dr. Sumayyah bersama Sdr. Nik Mohammad Haiqal bin Nik Ab Razak. YDP PSK.

Majlis diteruskan dengan sesi perbincangan berkenaan program dan aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah PSK. Pada majlis tersebut juga barisan Majlis Tertinggi PSK telah memperkenal serta memainkan lagu rasmi Persatuan Sains Komputer yang dicipta oleh Sdr. Haiqal Hazim bin Sahrolfarizal, Bendahari PSK sendiri. Di samping apresiasi untuk Dr. Sumayyah,  majlis ini juga telah membuka ruang kepada pelajar Diploma Sains Komputer semester 1 dan 4 untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain seterusnya dapat merangka aktiviti bersama yang bakal dilaksanakan kelak.

Sdr. Nik Mohammad Haiqal bin Nik Ab Razak, YDP PSK menyampaikan cenderahati kepada YBrs. Dr. Sumayyah