Oleh: Aisy Hanini Tihani

CHANGKAT JERING, 4 September 2024 – Satu sesi penyerahan buku biografi mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin kepada Pengetua SMK Tengku Menteri Puan Che Anum Samsudin berlangsung pada 4 September oleh penulis utama buku, Profesor Dr Abdul Halim Ali. Sesi ini berlangsung di SMK Tengku Menteri turut dihadiri oleh pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Larut, Matang dan Selama.

Menurut Profesor Dr Abdul Halim, ketika membuat kajian lapangan di sekolah ini pada 2019, Pengetua SMK Tengku Menteri terdahulu telah meminta beliau untuk memberi senaskhah buku untuk simpanan sekolah apabila ia diterbitkan.

“Bersama-sama ini juga saya hadiahkan sebuah buku berkaitan nama sekolah ini, buku “Tengku Menteri” hasil tulisan bekas pensyarah UPSI yang telah meninggal dunia, Profesor Madya Dr Talib Samat,” tambahnya

Menurut seorang lagi penulis, Profesor Madya Dr Ghazali Din, SMK Tengku Menteri mempunyai Muzium Sekolah yang menempatkan bahan bersejarah berkaitan Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid sebagai Tokoh Kepimpinan yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

“Muzium Sekolah ini dirasmikan oleh Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid pada 2 Oktober 1993 ketika beliau menjadi Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,” tambah Dr Ghazali.

Buku biografi ini bakal dilancarkan sempena Pesta Buku UPSI

Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Karang Mengarang, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain berkata buku biografi yang memenangi Anugerah Buku Negara 2023 Kategori Pengajian Tinggi Buku Biografi Terbaik (Tokoh Pendidikan) ini bakal dilancarkan pada 7 November ini sempena Pesta Buku UPSI ke-19.

“Kehadiran barisan penulis ke Changkat Jering bagi bertemu dengan waris Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid dan organisasi yang banyak membantu dalam menjalankan kajian biografi ini seterusnya menjemput mereka ke majlis yang bakal dirancang tersebut” kata Ahmad Janatul yang merupakan AJK Pesta Buku UPSI ke-19.

Menurut Profesor Dr Abdul Halim, Allahyarham Cikgu Mohd Fadzil Mohd Nordin iaitu adik kepada Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid merupakan individu penting dalam membantu kajian buku biografi ini.

Penyerahan Buku Kepada Waris Allahyarham Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid

“Barisan penulis sangat terhutang budi kepada Allahyarham Cikgu Mohd Fazil yang telah pergi meninggalkan kita pada tahun 2020. Buku biografi ini kami sampaikan kepada Encik Mukti, sepupu kepada Cikgu Mohd Fazil sebagai tanda penghargaan penulis,” kata Profesor Dr Abdul Halim.

“Alhamdulillah, buku ini sudah berada di tempat kami banyak membuat kajian dahulu. Barisan penulis berharap agar buku biografi ini bukan sahaja diletakkan di Muzium SMK Tengku Menteri malah ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara agar sejarah pemimpin pendidikan ini menjadi bahan bacaan kepada warga pendidikan” kata Ahmad Janatul yang juga penulis bersama buku biografi ketika mengakhiri perbualan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)