Oleh: Arif Ashraf Roslan dan Nur Umairah Nur Muazam
Tanjong Malim, 4 September 2024 – Sebuah organisasi yang sistematik terdiri daripada barisan pemimpin yang berintegriti dan berwawasan tinggi dalam menggerakkan organisasi tersebut ke arah yang lebih baik.
Dalam Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Fakulti Pembangunan Manusia juga akan berlakunya pertukaran sidang dari sidang yang lama ke sidang yang baharu.
Pertukaran sidang ini adalah disebabkan bagi menggantikan barisan kepimpinan dan ahli persatuan dalam menggerakkan persatuan ke arah yang lebih baik.
Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) sidang 2024/2025 telah menjalankan satu Mesyuarat Agung Tahunan (Annual Grand Meeting, AGM) bagi Sidang 2023/2024 yang diketuai oleh Fatin Hidayah binti Yunus selaku Pengarah Program yang bertempat Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI.
Seramai 120 yang hadir bersama pensyarah PAKK, ahli jawatankuasa Persatuan DPAKK Sidang 2023/2024 dan juga mahasiswa/i UPSI telah menghadiri program ini yang diketuai bersama Penasihat Persatuan DPAKK iaitu Puan Norrulkamari Daud.
Matlamat utama pelaksanaan AGM ini adalah untuk membubarkan ahli jawatankuasa sidang 2023/2024 yang lalu serta melantik ahli jawatankuasa barisan kepimpinan baharu bagi sidang 2024/2025.
Selain itu, program ini juga dapat memberi peluang kepada semua ahli Persatuan DPAKK untuk berinteraksi bersama mahasiswa/i dan saling memberi idea dalam melantik ahli jawatankuasa yang baharu.
Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Penasihat Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak iaitu Pn. Norrulkamari binti Daud. Beliau merupakan seorang yang telah lama berkecimpung dalam badan persatuan. Beliau berkata, “Saya amat berbangga dan mengucapkan tahniah kerana ini adalah kali pertama Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan secara bersemuka. Semoga sidang ini teruskan usaha dalam mengharumkan nama baik persatuan. Bukan mudah untuk mengharungi cabaran dan menimba ilmu baharu.”
Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan dan perasmian oleh Dekan Fakulti Pembangunan Manusia iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim. Menerusi ucapannya, “Penganjuran program ini adalah merupakan satu usaha dan latihan kepada pelajar bagi memberanikan diri dalam menyertai sebuah badan persatuan yang terdapat dalam UPSI. Saya hal ini juga menjadi salah satu peluang kepada Persatuan DPAKK ini menonjolkan diri agar persatuan ini dikenali lebih ramai. Harapan saya juga adalah mengadakan program mobiliti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”
Seterusnya, majlis diteruskan dengan agenda utama AGM iaitu pembentangan laporan program sepanjang sidang 2023/2024 oleh Yang Di-Pertua Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak sidang 2023/2024, saudari Syarfa Aliah binti Syaiful Azhar.
Majlis diteruskan dengan pembentangan laporan kewangan sepanjang sidang 2023/2024 oleh Exco Sukan dan Rekreasi Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak sidang 2023/2024, saudari Nur Alyaa Natasha binti Mohd Idris sekaligus menayangkan video montaj aktiviti Persatuan DPAKK sepanjang sidang 2023/2024.
Selepas itu, majlis diteruskan dengan aktiviti kemuncak iaitu sesi penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati kepada semua ahli barisan kepimpinan Persatuan DPAKK Sidang 2023/2024 seterusnya penyampaian empat Anugerah Khas iaitu Anugerah Majlis Tertinggi Terbaik, Anugerah Exco Terbaik, Anugerah Rakan Exco Terbaik dan Anugerah Program Terbaik. Tidak lupa juga penyampaian penghargaan kepada Penasihat Persatuan DPAKK, Puan Norrulkamari binti Daud yang banyak membantu dan membimbing persatuan sepanjang satu sidang ini terutama dari aspek penganjuran program yang aktif.
Seterusnya, majlis dilengkapkan lagi dengan ucapan yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sidang 2023/2024 iaitu saudari Syarfa Aliah binti Saiful Azhar. “ Persatuan kita merupakan satu-satunya organisasi yang ditubuhkan tanpa kehadiran abang-abang dan kakak-kakak ISMP. Saya berharap bahawa persatuan kita ini dapat mencipta nama dengan lebih baik serta dapat menandingi organisasi-organisasi yang lain”, katanya.
Di samping itu, majlis diteruskan lagi dengan pengumuman Barisan Kepimpinan Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sidang 2024/2025 diiringi tayangan video korporat Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sidang 2024/2025. Seterusnya, barisan kepimpinan sidang 2024/2025 melafazkan bacaan ikrar yang dipimpin oleh saudara Arif Ashraf bin Roslan selaku Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sidang 2024/2025 sebagai tanda kesediaan dalam menggalas tugas yang dipertanggungjawabkan.
Sebagai penutup, Yang Di-Pertua Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak bagi sidang baharu, saudari Fatin Hidayah binti Yunus memberi ucapan dan harapan ringkas kepada semua barisan kepimpinan baharu agar dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komited, jujur, amanah dan dedikasi sepanjang sidang serta dapat menjadi contoh teladan yang baik kepada seluruh mahasiswa/i UPSI khususnya mahasiswa/i Pendidikan Awal Kanak-kanak, seperti slogan persatuan, “Be the Best, Lead the Rest”. Tahniah diucapkan kepada semua ahli barisan kepimpinan yang dilantik !!