Manjung, Perak – Dalam semangat Hari Kemerdekaan yang baru-baru ini disambut, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kolej Komuniti Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Sungai Siput telah melaksanakan program servis motorsikal secara percuma kepada komuniti setempat melalui Program Outreach KPT @Perak pada 31 Ogos lalu di perkarangan Stadium Manjung, Perak.
Dalam usaha memperkasakan komuniti dan meningkatkan keterampilan teknikal, inisiatif pelaksanaan program yang berasaskan TVET (Teknikal dan Vokasional Pendidikan dan Latihan) ini adalah untuk membantu komuniti dalam menyelenggara motorsikal tanpa sebarang kos di samping meraikan kemerdekaan negara dengan memberi manfaat secara langsung kepada warga tempatan.
Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, program ini telah mensasarkan sebanyak 300 buah motorsikal untuk diselenggara secara percuma.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi juga merupakan salah satu inisiatif Universiti yang bertujuan untuk menghubungkan pelajar dan masyarakat sambil memberikan pengalaman praktikal yang berharga dalam bidang teknikal” ujarnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata program ini jelas menunjukkan komitmen UPSI bersama Kolej Komuniti Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Sungai Siput dalam memupuk semangat kekitaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar dan kakitangan bersama komuniti setempat.
“Inisiatif ini adalah contoh cemerlang bagaimana universiti memainkan peranan aktif dalam masyarakat dalam memperkasa pelajar dengan pengalaman praktikal dan menyokong pembangunan kemahiran pelajar dan berharap dapat terus melaksanakan inisiatif serupa pada masa akan datang, memperkukuh hubungan dengan komuniti dan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat”.