Oleh: Noor Sharizad binti Rohaizad
Tanjong Malim, 11 September 2024 – Sebuah program fashion show bersempena Hari Malaysia dirancang melibatkan 29 orang kanak-kanak TADIKA NCDRC.
Program yang dirancang bertujuan dapat memupuk semangat patriotism dalam kalangan kanak-kanak Bitara, mengasah potensi kepimpinan seawal usia sejak prasekolah serta membina keyakinan diri dalam memperagakan diri di atas pentas.
Program yang dijalankan di Mini Library, Tadika Bitara NCDRC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ini mendapat sokongan penuh daripada pihak ibu bapa yang memberi kerjasama dalam menyiapkan kanak-kanak dengan pakaian budaya dan pakaian mengikut tema kerjaya.
Pelbagai jenis pakaian yang diperagakan oleh kanak-kanak seperti pakaian pejabat, chef, angkasawan, doktor, jururawat, guru, bomba, jurulatih taekwando, jurulatih bowling, baju kurung, baju melayu dan pakaian berkonsepkan merdeka.

Menurut Puan Norazlina binti Khairudin, objektif utama fashion show ini adalah untuk memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan kanak-kanak.
‘Melalui program fashion show ini dapat menyampaikan mesej perpaduan dan kebanggaan terhadap warisan budaya kita menerusi fesyen, dan saya percaya kanak-kanak adalah masa depan negara yang perlu dididik untuk menghargai kepelbagaian’, katanya lagi.


Program ini dianjurkan guru pelatih yang merupakan pelajar diploma semester 6, program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sesi 2023/2024. Pertandingan Fashion Show ini melibatkan dua kelas tadika iaitu kelas 5 Earth dan 6 Uranus Menurut pengarah program, Puan Morlie Anak Johnny, program yang dianjurkan bertujuan mengasah dan mencungkil bakat kanak-kanak dalam meningkatkan ketrampilan diri kanak-kanak untuk menggayakan pakaian secara kreatif.
Menurut beliau lagi, program yang dirancang dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswi, ibu bapa dan pihak NCDRC serta mengukuhkan hubungan sosial dalam komuniti sekolah.

Ketika program berlangsung, kanak-kanak turut berpeluang menyanyikan lagu patriotik bertajuk Saya Anak Malaysia, Jalur Gemilang dan Tanggal 31.
Kanak-kanak kelihatan sangat gembira dan bersemangat ketika menyanyikan lagu patriotik kesukaan mereka. Semoga kanak-kanak dapat menjadi pemimpin masa depan negara yang cemerlang, terbilang dan gemilang.