Oleh: Noor Sharizad Rohaizad
Tanjong Malim, 13 September 2024- Sebuah program dirancang supaya kanak-kanak dapat mempelajari tentang alam semulajadi supaya kanak-kanak lebih menghargai alam sekitar. Selain itu, kanak-kanak juga dapat meningkatkan kemahiran sosial semasa berinteraksi dengan rakan-rakan dan bekerjasama dalam aktiviti kumpulan supaya dapat meningkatkan semangat berpasukan.
Program yang dijalankan di taman bersebelahan Muzium Nasional ini melibatkan 26 orang kanak-kanak Tadika Bitara NCDRC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Ibu bapa turut menyediakan pelbagai juadah bagi tujuan perkelahan kanak-kanak. Kanak-kanak sangat teruja dan gembira sepanjang perkelahan berlangsung.
Menurut pengarah program, Cik Lai Xiao Yue yang merupakan pelajar diploma semester 6, program Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sesi 2023/2024, program ini dapat menggalakkan kanak-kanak lebih mengenali alam sekitar ketika berkelah. “Kanak-kanak juga dapat menghargai alam sekitar melalui program seperti mengutip sampah, tidak memetik tumbuh-tumbuhan serta tidak membuang sampah merata-rata”, katanya lagi.
Selain perkelahan, kanak-kanak juga berpeluang menyertai aktiviti sukaneka yang menarik yang dirancang oleh guru pelatih. Aktiviti sukaneka berkonsepkan alam semulajadi turut diterapkan seperti kanak-kanak diminta untuk mencari batu, ranting kayu dan daun sebagai tiket sebelum menjamu selera.
Prof. Dr. Santharasekaran Subramaniam selaku Pengarah International Peace Human Rights Education Council (IPHREC) turut hadir dan menyertai perkelahan bersama anak-anak sambil memberikan motivasi kepada semua guru agar terus memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak kecil mendapat ilmu yang bermanfaat untuk terus menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk kesejahteraan bersama.
“Para guru sekolah dilihat amat komited dan peramah dalam mendidik anak-anak prasekolah. Guru-guru amat prihatin dan bertanggungjawab mengajar kanak-kanak mengenai adab berkawan, makan bersama dan saling berkongsi makanan’’, menurut beliau lagi. Sebelum pulang, beliau sempat berpesan kepada guru dan kanak-kanak untuk menyayangi dan memelihara alam sekitar dengan baik.
Aktiviti riadah atau perkelahan perlu dimanfaatkan dalam kehidupan oleh masyarakat kerana ianya banyak memberi impak yang positif. Selain itu, aktiviti-aktiviti reakreasi mampu menjadi medium perhubungan silaturrahim antara keluarga, rakan-rakan dan juga komuniti. Bersama-sama kita melahirkan generasi yang berfikiran waja, sihat jasmani dan rohani serta hidup dalam harmoni.