Oleh: Mohd Aliff Amirnuddin Dan Musa Jaafar
Tanjung Malim, 4 September 2024 – Pusat Ulul Albab (PUA) UPSI menerima kunjungan Kembara Huffaz 2.0 dari MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang peluang menyambung pengajian di UPSI. Pada masa yang sama, murid dan guru MRSM beroleh pendedahan dan peluang berinteraksi bersama kakitangan PUA, bertukar pandangan dan pengalaman mengenai universiti yang penuh dan sarat lipatan sejarah dan kecemerlangan akademik dalam membangunkan pendidikan anak bangsa.
Lawatan separuh hari ini amat bermakna kepada pelajar-pelajar agar beriltizam dalam menanam dan membina keazaman bagi meneroka peluang pendidikan yang lebih tinggi pada masa hadapan
Delegasi rombongan MRSM Kepala Batas seramai 38 orang murid dan 5 orang guru pengiring yang diketuai oleh Penyelaras Program Kembara Huffaz 2.0 YBrs. Ustaz Murshid Shafie, Ustaz Sofian Hafizy Ramly, Ustazah Izzati Mohd Ishak dan Ustazah Rosdiana Abd. Rahman.
Perkongsian ini berlangsung di Auditorium aras 4, Perpustakaan Tuanku Bainun dan taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Sakinah binti Salleh selaku Pengarah Pusat Ulul Albab disamping tayangan video korporat Pusat Ulul Albab .
Bagi memenuhi hasrat MRSM dan pelajar-pelajar, pegawai Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), Pn. Salwah Mohd. Ali telah dijemput untuk memberi pendedahan tentang kelestarian budaya akademik dan kelebihan UPSI dari segi infrastruktur bertaraf olimpik dengan suasana nyaman, udara yang bersih di bawah Banjaran TItiwangsa kepada pelajar-pelajar tentang peluang menjejak kaki ke menara gading.
Dr. Sakinah dalam ucapannya sangat teruja dan berbangga dengan kehadiran pelajar-pelajar MRSM yang menghafal 30 juzuk Al-Quran dan mengambil aliran STEM yang boleh ditawarkan menyambung pengajian di UPSI melalui Institut Pendidikan Tahfiz dan Thurath Islami (IPTTI).
Pihak universiti juga ada menyediakan penawaran Biasiswa Bitara UPSI kepada perantis Andalusian Scholars.
Menurut beliau kedua-dua pihak boleh mengembangkan dan meningkatkan kerjasama dalam konteks menyediakan laluan khas pelajar-pelajar aliran sains untuk memperluaskan pendidikan anak-anak muda Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, pihak MRSM juga dipelawa untuk menghantar penyertaan berkaitan pencarian bakat IKON dan pertandingan inovasi UA-ICE yang bakal berlangsung pada 26 Oktober 2024 di UPSI.
Menurut penyelaras Kembara Huffaz 2.0, Ust. Murshid, segala perkongsian dan percambahan idea yang diperolehi dapat memperkukuh hubungan kerjasama dalam menyediakan barisan pelapis pemimpin-pemimpin anak muda Melayu pada masa akan datang.